KUALA LUMPUR – Projek bernilai RM6.61 bilion yang dibuat secara runding terus oleh Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah sebelum ini mendedahkan wajah sebenar bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang hipokrit.
Sedangkan, katanya, Setiausaha Agung DAP itu kononnya bersih, suci dan mulus.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, beliau tidak mahu mengatakan direct nego itu satu kesalahan malah dibenarkan tetapi rakyat selama ini tertipu dengan ‘wayang’ DAP yang menguar-uarkan pentadbiran kerajaan bawah PH diurus dengan baik dan telus.
“Cuma apa yang kita ingin bangkitkan adalah perangai hipokrit, penipu PH. Rakyat Malaysia tertipu selama 22 bulan oleh DAP yang kononnya melaksanakan tadbir urus yang baik dan telus.
“Tetapi di belakang pengetahuan rakyat, mereka memberi kekayaan kepada kroni,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata Mustafa Shah, apa yang didedahkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam jelas bertentangan dengan janji dan manifesto DAP ketika meraih undi berkempen pada PRU-14.
“Kita kesal dengan apa yang berlaku apabila DAP terang-terangan memperdayakan rakyat dengan penipuan harapan ini.
“Jelas, selama ini Guan Eng sengaja menipu menyembunyikan perkara ini apabila tidak membentangkan kepada Kabinet berhubung pemberian terus 101 projek kepada kroni DAP.
“Anehnya, apabila perkara ini terkantoi Guan Eng meminta kerajaan PN mendedahkan ‘direct nego’ yang bermula sejak zaman BN,” katanya.
Mustafa Shah berkata, kenyataan itu membukti Guan Eng benar-benar kantoi dan terdesak apabila dia telah melanggar prinsip yang kononnya diagung-agungkan DAP sebelum ini. – MalaysiaGazette
















