SHAH ALAM – UMNO terkejut apabila Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan di Dewan Rakyat semalam tentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan telah meluluskan sebanyak 101 projek bernilai RM6.61 bilion secara runding terus.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, selama ini PH mencanangkan kepada rakyat, kerajaan mereka bersih, telus dan akan membahagikan projek mengikut peraturan, tanpa ada istilah runding terus.
Bagaimanapun, katanya, apabila penipuan itu didedahkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), menunjukkan PH selama ini hanya cakap tak serupa bikin.
“Bila perkara ini didedahkan, memang kami semua Ahli Parlimen dari PN terkejut. Kerana sebelum ini kita sedia maklum, PH ketika memerintah menguar-uarkan kerajaan mereka hendakkan ketelusan, tiada runding terus.
“Apabila kerajaan PN dedahkan sebanyak 101 projek bernilai RM6.61 bilion runding terus, itu suatu perkara yang mengejutkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek pembiayaan perniagaan Penjana di Mimoo Act Sdm Bhd, Kampung Baru Subang, dekat sini, hari ini.
Di Parlimen semalam Tengku Zafrul mendedahkan, sepanjang pemerintahan kerajaan PH, sebanyak 101 projek dengan perolehan berjumlah RM6.61 bilion telah ditawarkan secara rundingan terus.
Pendedahan itu menyebabkan Ahli Parlimen kerajaan mendesak bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan kepada awam berhubung peruntukan yang begitu besar dilakukan tanpa melalui tender terbuka.
Setiausaha Agung DAP itu, yang selama ini cuba menafikan menggunakan wang sejumlah itu sepanjang 22 bulan memegang jawatan Menteri Kewangan, kali ini tidak dapat memberi alasan lagi.
Menurut Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang, ketika pemerintahan PH juga, kerajaan itu tekah melantik sekurang-kurangnya 40 pemimpin dari DAP, PKR dan Amanah ke jawatan pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah agensi kerajaan (GLC).
“Apabila PN memerintah, ramai antara Ahli Parlimen dilantik mengetuai GLC, termasuk saya sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).
“Tetapi, apabila saya siasat, kerajaan PH dahulu pun melantik ramai Ahli Parlimennya menjadi pengerusi di GLC.
“Dalam kiraan saya ada 40 orang pemimpin dari DAP, PKR dan Amanah jadi pengerusi dan ALP agensi-agensi kerajaan ini,” katanya.
Maknanya, tegas beliau, sebelum ini pun PH buat dan sekarang menuduh kerajaan PN mengamalkan rasuah politik.
“Sebenarnya mereka yang terlebih dahulu buat dan apabila mereka buat mereka tidak hebahkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















