Presiden Parti Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali bersama pimpinan Putra pusat dan Perak mengunjungi penduduk di DUN Slim semalam.

KUALA LUMPUR – Walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad tahu calon tajaannya, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi kalah dalam PRK DUN Slim ini tetapi bukan itu mesej yang hendak disampaikannya kepada parti gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, menurut Presiden Parti Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hendak memberitahu kepada rakyat Malaysia, bahawa beliau dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz masih kuat dan dapat mengekalkan politik peribadi mereka.

Katanya, Mahathir yang mengasaskan parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bukan tidak tahu calon yang bertanding atas tiket bebas akan berdepan dengan kekalahan malah boleh hilang wang pertaruhan.

“Saya berpendapat Tun Dr. Mahathir dan Mukhriz hanya hendak sampaikan mesej bahawa politik mereka masih kuat. Dia nak kekalkan peribadi politik mereka.

“Saya nampak perjuangannya dengan geng-geng dalam Pejuang ibarat sabut yang terumbang-ambing di tengah lautan. Sabut yang dipukul ombak ini sama ada tenggelam atau timbul dan sampai ke tebing, kita tak tahu.

“Jadi, apa tujuan beliau meletakkan calon bebas bertanding di PRK Slim? Saya cuba menyelami apa yang tersirat… yang saya tahu, malah Tun Dr. Mahathir pun tahu calon bebas ini akan kalah,” katanya selepas melakukan lawatan dan tinjauan bersama rombongan Putra pusat di DUN Slim semalam.

Ibrahim turut membawa beberapa pimpinan muda parti itu untuk melihat dan menimba pengalaman, sebelum mereka berada di medan sebenar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Mengulas lanjut, katanya, beliau digugurkan dari UMNO dahulu, Mahathir paling kuat menghalangnya bertanding sebagai calon bebas dengan berkata beliau akan kalah jika bertanding atas tiket bebas.

Ujarnya, beliau tetap dengan keputusan bertanding dan keputusannya di luar jangkaan apabila mendapat jumlah undi banyak walaupun kalah kepada calon Pas.

Beliau menyatakan, keputusan PRK DUN Slim atau mana-mana PRK walaupun memihak kepada calon yang mewakili kerajaan tetapi ia bukan kayu ukur atau alasan untuk calon bebas tidak bertanding.

“Selalunya parti yang mendokong kerajaan akan menang tapi apabila PRU, kerusi kerajaan kalah kepada pembangkang. Sebab itu, Parti Putra walaupun tidak menyertai PRK tetapi kita mengambil kira aspek ini untuk bertanding pada PRU akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Masih kuat untuk sapu habih duit rakyat. 22 tahun plus 22 bulan masih tak cukup untuk jahanamkan bangsa dan negara?????

Comments are closed.