Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengecam sekeras-kerasnya keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak mengubah sistem pendidikan negara, termasuk mengekalkan sekolah vernakular.

Sambil melahirkan rasa dukacita, kesal dan kecewa dengan keputusan itu, Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali menegaskan, rupa-rupanya pemimpin Melayu Islam yang melaung-laungkan memperjuang dan mempertahankan hak Melayu selama ini hanyalah retorik semata-mata.

Katanya, beliau kesian dengan penat Lelah para ilmuan, tokoh akademik dan pelbagai NGO yang sebelum ini bermati-matian menentang kewujudan sekolah vernakular dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Bagaimanapun, hari ini jelas apabila kerajaan PN menunjukkan wajah sebenar mereka selepas berjaya mengambil alih pemerintahan dari kerajaan Pakatan Harapan pada akhir Februari lalu.

“Hari ini, saya melahirkan perasaan dukacita yang amat sangat, sedih dan tertekan sehingga saya tidak dapat melelapkan mata apabila membaca berita yang kerajaan merancang untuk membina lebih banyak lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Lebih menyedihkan apabila Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique mengumumkan kerajaan PN tidak akan memansuhkan sekolah vernakular, atas alasan demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Ini umpama peribahasa, harapkan pegar, pegar makan padi. Diingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari dan ibarat semuat naik ke mata, kerana pengumuman itu dibuat tidak sampai setengah tahun PN mengambil alih dari PH,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Halimah, yang antara lain turut memberikan jaminan, untuk tidak memansuhkan sekolah vernakular, kerajaan mempunyai usaha lain memupuk perpaduan negara yang berupaya dirintis menerusi kaedah lain.

Kata menteri itu, kerajaan ketika ini menggiatkan inisiatif untuk menyuntik kesedaran berhubung kepentingan perpaduan dengan menghayati aspek rukun negara bermula di peringkat awal.

Dr. Ibrahim menempelak UMNO dan Pas yang memeterai Muafakat Nasional (MN) sebelum ini beriya-iya melaungkan soal agenda Melayu, agenda negara dan Perlembagaan Negara, tetapi rupa-rupanya ia digunakan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

“Mereka menggunakan isu sekolah vernakular dan UEC, tetapi akhirnya apabila berkuasa, lain yang dicakap, lain yang dibuat. Astagfirullah.. apa sudah jadi dengan pemimpin Melayu ini.

“Memang wajarlah saya pada awal-awal lagi tidak menyatakan sokongan yang bulat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun sebelum ini beliau pernah mengatakan beliau adalah Melayu dulu, bangsa Malaysia yang pelbagai kaum ini adalah kemudian.

“Tentulah saya rasa teruja dengan kata-kata itu sebelum ini, tetapi apabila sudah berkuasa, sudah menjadi kelaziman manusian, lain cakap, lain buat,” ujarnya.

Mengenai sijil UEC yang turut diiktiraf oleh Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md. Jidin pada 11 Ogos lalu, Dr. Ibrahim berkata, bermakna tidak ada peluang sekolah satu aliran akan diperkenalkan bagi menggantikan sekolah vernakular.

Malah, katanya, SJKC itu akan ditambah sebanyak 10 buah lagi yang baharu dan memindahkan enam yang sebelum ini ke tempat lebih besar menerusi perancangan 10+6, sekali gus membantutkan arah pelaksanaan sekolah kebangsaan atau sekolah satu aliran.

“Apa semuanya ini? Sememangnya saya ingin berkongsi dengan rakyat, masyarakat kaum pribumi orang Melayu bahawa sekolah vernakular dan pelaksanaan peperiksaan UEC oleh Dong Zong ini bermula sejak tahun 1975 ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Pelajaran.

“Selepas itu, kita lihat perkembangan sekolah vernakular ini semakin menjadi-jadi. Ertinya ia bukan sahaja tidak membantu ke arah integrasi nasional seperti negara lain yang menjalankan sistem pendidikan satu aliran.

“Ini bertentangan dengan asas perlembagaan negara, yang mendaulat kedudukan bahasa kebangsaan bawah Fasal 151 dan 152, malah paling menyedihkan, ia menodai semangat pengorbanan susah payah dua tokoh pendidikan negara iaitu Abdul Rahman Talib dan Dr. Aminuddin Baki yang menentang sekolah vernakular sekitar tahun 1960 hingga 1965,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Umno dan seakatan dgn nya memang sejak dulu lg jd tali barut cina.. Semuanya salahkan dap. Melayu hamprak

Comments are closed.