Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zukifli Mohamad Al-Bakri melekatkan Jalur Gemilang di cermin hadapan kenderaan rasmi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai simbolik Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Agensi Agama Di Bawah Jabatan Perdana Menteri 2020 di Kompleks Islam, Putrajaya. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 27 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan masih mengkaji kewajaran cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelbagai berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setakat ini cadangan itu belum dibawa ke dalam Kabinet untuk dilaksanakan.

“(RCI) itu kerajaan sedang meneliti dan Kementerian Kewangan masih dalam pertimbangan mereka untuk diangkat dalam Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Merdeka peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Pada 15 Julai lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan memorandum kepada Zulkifli berhubung saranan agar kerajaan menyegerakan RCI bagi menyiasat isu-isu yang melibatkan TH.

Menurut Asyraf Wajdi, segala tuduhan salah-laku dan penyelewengan terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terdahulu sehinggalah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini hanya boleh dirungkaikan melalui penubuhan RCI yang bertindak secara bebas dan berkecuali. – MalaysiaGazette