KUALA LUMPUR – BIMB Holdings Berhad (BIMB) mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM574.1 juta untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2020.

PBZT yang direkodkan itu susut RM46.5 juta berbanding tempoh sama tahun lalu ekoran kesan penyusutan pendapatan pembiayaan bersih yang timbul ekoran semakan semula penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan kerugian pengubahsuaian akibat pelaksanaan moratorium pada bulan April 2020.

Keuntungan bersih juga menyusut sebanyak RM35.4 juta kepada RM362.3 juta.

Manakala pulangan ekuiti tahunan selepas cukai (ROE) BHB kekal kukuh pada 12.6%, sementara pendapatan sesaham mencapai 20.25 sen.

Aset bersih sesaham kumpulan mengukuh kepada RM3.55 setakat 30 Jun 2020 berbanding RM3.34 pada 31 Disember 2019.

Menurutnya, kualiti portfolio aset Kumpulan Bank Islam (Bank Islam) kekal utuh dengan nisbah pembiayaan terjejas kasar rendah 0.7% pada 30 Jun 2020, separuh daripada angka 1.5% yang dicatatkan sistem perbankan pada akhir Jun 2020.

Jumlah pembiayaan terjejas kasar pada 30 Jun 2020 adalah RM371.5 juta berbanding RM559.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Dengan Jumlah Nisbah Modal 19.2% setakat 30 Jun 2020, Bank Islam berada dalam kedudukan modal yang kukuh untuk menyediakan kemudahan bantuan bersasar kepada pelanggan terjejas dan menyokong pertumbuhan perniagaan yang berterusan.

Pada 30 Jun 2020, pembiayaan bersih Bank Islam mencapai RM52.0 bilion, iaitu pertumbuhan sihat tahun-ke-tahun sebanyak 12.1% atau RM5.6 bilion.

Akaun deposit dan pelaburan pelanggan meningkat 6.8% atau RM3.7 bilion tahun ke tahun kepada RM58.5 bilion.

Manakala komposisi jumlah akaun semasa dan simpanan serta pelaburan transaksi berada pada tahap sihat iaitu 36.2% daripada jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan.

”Walaupun persekitaran sektor perbankan Malaysia kekal mencabar, pertumbuhan pembiayaan terus menunjukkan daya tahan kerana jumlah pertumbuhan pinjaman untuk industri perbankan kekal pada 4.1% pada bulan Jun (Mei: 3.9%).

”Nisbah Pembiayaan Terjejas Kasar (GIFR) turun ke tahap 1.46% pada bulan Jun daripada 1.55% pada bulan Mei. GIFR turun ke tahap 1.46% pada bulan Jun daripada 1.55% pada bulan Mei.

”GIFR untuk sektor isi rumah menyusut kepada 0.95% pada bulan Jun daripada 1.03% pada bulan sebelumnya,” kata BIMB dalam kenyataan di sini.

Berikutan moratorium terhadap pembayaran balik pembiayaan, Bank Islam telah mengalami kerugian pengubahsuaian sebanyak RM97.8 juta.

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatat PBZT sebanyak RM211.8 juta pada 1H20 berbanding RM210.4 juta yang telah dicatat pada 1H19.

Takaful Malaysia merekodkan pendapatan operasi RM1,428.8 juta bagi 1H20, lebih rendah berbanding RM1,591.1 juta pada separuh pertama tahun lalu disebabkan penjanaan jualan lebih rendah daripada perniagaan Takaful Keluarga.

Perniagaan Takaful Keluarga menjana sumbangan perolehan kasar bernilai RM772.1 juta bagi separuh pertama tahun ini, lebih rendah berbanding RM967.5 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya berikutan penjualan lebih rendah produk berkaitan kredit dan perubatan kumpulan.

Bagi tempoh tinjauan, perniagaan Takaful Am merekodkan sumbangan perolehan kasar lebih rendah sebanyak RM364.8 juta berbanding RM370.4 juta pada 1H19 dipacu daripada kelas kebakaran.

Kedua-dua aktiviti perniagaan tersebut terkesan selama 84 hari akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette