Brenton Tarrant. foto Agensi

WELLINGTON – Mahkamah New Zealand menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol ke atas Brenton Tarrant, lelaki yang menembak mati 51 orang Islam dua buah masjid di Christchurch tahun lalu.

Hukuman seumpama itu adalah kali pertama dilaksanakan di New Zealand.

Tarrant, seorang warga Australia berusia 29 tahun, mengaku bersalah ke atas 51 tuduhan pembunuhan, 40 tuduhan percubaan pembunuhan dan satu tuduhan melakukan tindakan pengganas semasa mengamuk di dua masjid tersebut.

Kejadian itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook.

Hakim Mahkamah Tinggi ,Cameron Mander mengatakan meskipun hukuman itu telah dijatuhkan tetapi ia belum memadai.

“Kejahatan anda, walaupun sangat jahat bahkan jika anda ditahan hingga mati, ia tidak akan menghabiskan syarat hukuman dan pengecaman.

“Setahu saya, anda tidak mempunyai sebarang rasa simpati terhadap mangsa-mangsa anda,” kata Mander ketika menjatuhkan hukuman.

Tarrant, yang mengenakan pakaian penjara kelabu dan dikelilingi oleh pengawal, tidak bertindak balas terhadap hukuman itu.

Terdahulu para pendakwa raya memaklumkan kepada mahkamah bahawa Tarrant mahu menimbulkan rasa ketakutan kepada mereka yang digambarkannya sebagai penyerang dan merancang serangan itu untuk menyebabkan pembunuhan maksimum.

“Hari ini prosedur undang-undang untuk kejahatan keji ini telah dilaksanakan. Tidak ada hukuman yang akan mengembalikan orang yang kita sayangi.

“Ekstremis semuanya sama. Sama ada mereka menggunakan agama, nasionalisme atau ideologi lain. Semua pelampau, mereka mewakili rasa kebencian. Tetapi kita di sini menghormati kasih sayang, belas kasihan, orang-orang yang beragama Islam dan bukan Islam,” kata Gamal Fouda, Imam masjid Al Noor yang menjadi sasaran tembakan rambang Tarrant.

Tarrant, yang mewakili dirinya sendiri semasa perbicaraan itu tidak pernah membuat sebarang kenyataan dan melalui seorang peguam di mahkamah, beliau memberitahu, dia tidak akan menentang permohonan pendakwaan seumur hidup tanpa hukuman parol yang dikenakan ke atasnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Jacinda Ardern melahirkan rasa lega kerana “tertuduh tidak akan lagi melihat hari-harinya”. – MalaysiaGazette