Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas berceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim Dewan Sri Sungkai, Slim River, Perak. foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa menggunakan fakta yang salah apabila mengatakan UMNO akan membolot kesemua kerusi yang dimiliki oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Dr Mahathir mungkin menerima maklumat yang tidak tepat berhubung perkara itu daripada sumbernya yang tidak boleh dipercayai

“Saya fikir eloklah dilihat fakta bahawa kenyataan beliau itu tidak bersasarkan kepada dapatan kajian atau maklumat yang sahih dan diperolehi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai.

“Mungkin apa yang dikatakan oleh beliau datangnya dari sumber yang tidak boleh dipercayai sebagaimanaa ketika beliau menjadi pemimpin kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau demikian ketika ditemui berceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Slim) di Dewan Taman Permai, Pekan Lama, Trolak di sini malam tadi.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Nik Zawawi Salleh dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, parti-parti komponon dalam BN dan Perikatan Nasional (PN) telahpun bersetuju untuk mengelakkan daripada berlakukan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September nanti.

Beliau berkata, disebabkan itu kesemua parti akan bersatu untuk menggunakan lambang BN pada PRN negeri itu.

Katanya, isu berkaitan lambang yang akan digunakan juga sudah disampaikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan telah dipersetujui serta disahkan.

“Kita harap kerinduan rakyat Sabah terhadap BN dan kini PN bersama-sama dalam kesepakatan yang baharu.

“Saya harap rakyat Sabah akan memilih kerajaan baharu yang baik. Insyaallah kepentingan rakyat Sabah terus menjadi keutamaan pada kerajaan baharu di Sabah selepas 26 spetemberr nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.