Eddin Syazlee Shith

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyangkal kenyataan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk A. Kadir Jasin yang mendakwa barisan kepimpinan baharu MPT parti itu didominasi bekas pemimpin UMNO.

Ahli MPT Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, tiada istilah ‘lebih UMNO’ dalam MPT yang baharu kerana mereka dipilih oleh perwakilan dan ahli atas keupayaan serta krebiliti memimpin.

Lagipun ujar beliau, selepas empat tahun penubuhan Bersatu, masa sudah berubah dan parti juga perlu berevolusi mengikut keadaan semasa.

“Secara logiknya jika mahu memilih pemimpin mesti kita mahukan mereka yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin. Pastinya perwakilan dan ahli Bersatu yang memilih barisan MPT baharu juga mahukan individu berkualiti.

“Sekarang, Bersatu bukan lagi parti di peringkat penaja seperti awal penubuhan dulu. Sudah sampai masanya parti menetapkan hala tuju lebih tuntas dengan dipimpin oleh mereka yang dianggap berwibawa oleh ahli,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Semalam media melaporkan, A. Kadir menyifatkan barisan MPT Bersatu bagi tempoh 2019-2022 kelihatan ‘lebih UMNO’ jika dibandingkan ketika parti itu mula ditubuhkan dahulu.

Eddin Syazlee berkata, ia jelas ketara melalui susunan atau kompilasi MPT itu sendiri selepas Bersatu mengadakan pemilihan pucuk pimpinan peringkat nasional pada 22 Ogos lalu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, selesai sahaja pemilihan minggu lalu, semua mereka yang dipilih perwakilan perlu memikirkan cara bagaimana untuk memperkukuhkan lagi parti itu.

Kata beliau, ini kerana pemilihan tempoh hari juga berlangsung dalam suasana kekeluargaan dan kini tiba masanya untuk semua ahli serta pemimpin kembali berjuang untuk kesinambungan perjuangan Bersatu.

“Saya istilahkan hasil daripada pemilihan penuh kekeluargaan itu, yang menang tidak menang semua dan yang kalah pun takkan hilang semua. Semua masih ada peranan masing-masing dalam memastikan survival Bersatu.

“Semua pemimpin yang terpilih termasuk saya sendiri perlu mencari pendekatan yang sesuai untuk memperkukuhkan parti, menambahkan ahli dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.