KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia mendesak kementerian terlibat dalam projek runding terus pada era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), memberi penjelasan kepada rakyat dan memperbetulkan salahlaku masing-masing, jika berlaku.
Ketuanya, Dr. Asmah Razalli menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga wajar menyiasat sehingga ke akar umbi dengan pendedahan yang dibuat Menteri kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen baru-baru ini.
Beliau menyatakan, isu projek runding terus melibatkan pendedahan beberapa kementerian termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), amat mengejutkan dan mengecewakan rakyat jika terdapat sebarang unsur rasuah atau salahlaku.
Katanya, projek yang bernilai tertentu didakwa ditambah nilai dan sebagainya tidak menggambarkan ketelusan dalam pentadbiran, serta wajar disiasat.
“Rakyat berada dalam kesusahan sejak pandemik Covid-19, malah ada kehilangan pekerjaan dan hidup kais pagi makan pagi, tetapi penyalahgunaan berlaku sewenang-wenangnya di peringkat atasan. Ini amat tidak boleh diterima.
“Paling mengejutkan apabila menteri KPKT (Zuraida Kamaruddin) sendiri memberitahu, beliau tidak tahu mengenai projek rundingan terus ini. Jadi, siapalah dalang di sebalik pemberian projek dalam sesebuah kementerian.
“Nampaknya kuasa yang meluluskan projek ini sudah melangkaui kuasa menteri. Justeru, Wirawati Putra Malaysia menggesa siasatan ke akar umbi dalam tempoh 14 hari didedahkan secara jelas kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau mengulas mengenai pendedahan Tengku Zafrul di Parlimen baru-baru ini, sebanyak 101 projek dengan perolehan RM6.61 bilion diberikan secara runding terus oleh bekas Menteri kewangan PH, Lim Guan Eng.
Menurut Dr. Asmah, menteri di sesebuah kementerian perlu mematuhi setiap aturan pengurusan dalam penyerahan sesebuah tender, apatah lagi projek rundingan terus.
Kata beliau, jika menteri sendiri tidak tahu apa-apa berkaitan projek, bagaimanakah pengurusan sesebuah kementerian sebenarnya dijalankan dan adakah berbaloi rakyat mempunyai menteri seumpama itu?
“Jika menteri mengetahui perkara ini, mereka sudah melanggar SOP, dan tindakan sewajarnya harus dijalankan.
“Jangan perbodohkan rakyat yang bijak. Rakyat mahu siasatan dijalankan hingga ke akar umbi demi memastikan tiada lagi penyalahgunaan kuasa mahupun rasuah bermaharajalela di dalam Malaysia.
“Cukuplah rakyat menerima manifesto palsu kerajaan sebelum ini, jangan pula kerajaan kabinet baru juga mahu bersandiwara,” ujarnya.
Beliau berkata, Wirawati Putra mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan semua kementerian terlibat membuat tindakan serta merta, dan SPRM harus menyiasat serta dan dedahkannya dalam tempoh 14 hari kepada rakyat. – MalaysiaGazette
















