Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 11 kes baharu positif Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, sebanyak 10 adalah kes import telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan enam warganegara Malaysia.

Empat lagi kes bukan warganegara manakala satu lagi kes penularan dalam negara.

Kata beliau, dengan rekod itu, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,317 kes.

Bagaimanapun, ujarnya, terdapat lapan kes yang telah pulih hari ini dengan jumlah kumulatif kes telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 sebanyak 9,038 kes, iaitu 97.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Untuk jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula direkodkan sebanyak 154 kes dan mereka telah diasingkan untuk diberi rawatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menyatakan, 10 kes import itu adalah dari negara India dengan tujuh kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu kes di Selangor), manakala Indonesia pula melibatkan satu di Selangor.

Ini kata Noor Hisham diikuti dari Qatar melibatkan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kes dikesan di Sarawak hasil dari saringan pra pembedahan di Hospital Umum Sarawak.

“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, tiada pertambahan kes kematian berkaitan wabak itu hari ini dan jumlah kumulatif kematian di Malaysia kekal 125 kes, iaitu 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mengenai saringan kesihatan di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak Melaka pada Khamis lalu, beliau berkata, pihak Crisis Preparedness and Response Centre Kebangsaan, KKM telah dimaklumkan mengenai kes positif itu dalam kalangan anggota di hospital berkenaan.

Kata beliau, berdasarkan siasatan yang dijalankan, dua kes dikesan melalui saringan pra pembedahan dan satu kes adalah daripada saringan bergejala di hospital tersebut.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, pihak Angkatan Tentera Kem Terendak bersama Jabatan Kesihatan Melaka telah membuat penilaian risiko ke atas anggota.

“Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat kes-kes positif dikenal pasti.

“Bagi kontak rapat yang telah dikenal pasti, saringan gejala dan pengambilan ujian pengesanan Covid-19 dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette