Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Arnold Puyok berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Persatuan Alumni Universiti Malaysia (PAUM), Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Selain perlu menangani Covid-19 dan masalah ekonomi, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berdepan dengan cabaran politik yang memberi kesan kepada kedudukannya menjelang PRU-15.

Penganalisis Politik, Dr Arnold Puyok berkata, Perdana Menteri telah berjaya menunjukkan kebolehan beliau dalam menangani isu berkaitan pandemik dan ekonomi namun masih ada cabaran lain menanti.

“Cabaran lain yang terpaksa dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin ialah isu politik yang boleh memberikan kesan kepada kedudukannya menjelang PRU-15.

“Sabah dan Sarawak sekali lagi menjadi key states yang boleh menentukan survival politik Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya yang merupakan Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN)  dengan tajuk Pencapaian Harapan dan Cabaran  (Dari Aspek Politik) di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.

Menurut Arnold , Sabah dan Sarawak dianggap penting di dalam percaturan politik Muhyiddin kerana kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah bukan hanya dilihat sebagai cubaan olehnya untuk menyebarluaskan pengaruh parti itu di luar Semenanjung sebaliknya ia juga dijadikan sebagai pemangkin kepada cabaran yang diberikan oleh UMNO dan Pas.

Bagi Sarawak pula kata beliau, kira-kira 20 kerusi Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bersatu adalah penting bagi mengimbangi kedudukan Muhyiddin di peringkat Persekutuan.

Ujarnya, pembentukan Kabinet kerajaan PN pada 9 Mac lalu memperlihatkan beberapa pemimpin daripada Sabah dan Sarawak dilantik menjadi menteri.

Katanya lagi, pelantikan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memfokus kepada hal-ehwal Sabah dan Sarawak dilihat sebagai signifikan oleh pelbagai pihak kerana ia akan memastikan isu-isu pembangunan khusus kepada Sabah dan Sarawak dapat diberikan perhatian sewajarnya.

“Walaupun portfolio seperti ini bukanlah satu perkara yang baharu namun ia dilihat sebagai usaha Muhyiddin di dalam mengetengahkan Sabah dan Sarawak sekali lagi dalam arus pembangunan perdana.

“Pada tahun 1960-an, bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Mohammad Fuad Stephens dilantik oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Menteri untuk menguruskan hal-ehwal Sabah.

“Selain daripada, Tun Mohammad Fuad Stephens, pemimpin Sarawak yang pernah dilantik sebagai Menteri untuk menguruskan hal-ehwal Sarawak ialah Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Anak Barieng,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh Muhyiddin untuk memberikan pengiktirafan kepada keunikan kedudukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia, namun belum ada policy direction yang jelas tentang ke mana dan bagaimana isu MA63 akan ditangani oleh kerajaan pimpinan beliau.

“Adakah Muhyiddin akan meneruskan usaha yang telah dirintis oleh kerajaan terdahulu di dalam memastikan pelaksanaan MA63 dibuat secara tuntas?

“Adakah Muhyiddin akan mengambil pendekatan yang berlainan tetapi lebih strategik dan pragmatik? ” soal beliau. – MalaysiaGazette