Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sebutan kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng kesal terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memilih hari Jumaat, sehari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk mengenakan dua pertuduhan baharu terhadapnya.

Bekas Menteri Kewangan itu mendakwa langkah tersebut dilihat terburu-buru dan bermotif politik kerana mahu menghalangnya menghadiri proses penamaan calon yang dijadualkan berlangsung, Sabtu ini.

“Ada dua dakwaan terbaharu akan dibuat ke atas saya pada Jumaat ini.

“Ini memang sesuatu tindakan yang bermotif politik oleh pihak SPRM kerana mengadakannya sehari sebelum penamaan calon di Sabah.

“Bila dakwa saya sebegitu tergesa-gesa, begitu terburu-buru sehingga kaum saya pun mereka boleh silap, kaum diletak sebagai orang Melayu.

“Umur saya pun boleh silap, memang tuduhan ini adalah satu kesilapan besar dan bermotifkan politik,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Guan Eng, 60, turut kesal dengan tindakan SPRM yang tidak memaklumkan lebih awal kepada beliau berhubung pertuduhan baharu itu sedangkan perkara itu telah bocor kepada pihak media.

“Media telah mendapat laporan akhbar pada minggu lepas bahawa saya akan didakwa sekali lagi, sungguhpun saya tak dapat apa-apa maklumat daripada SPRM.

“Tetapi SPRM telah membocorkan maklumat kepada media massa. Jelas ini satu tindakan untuk mengganggu dan menyusahkan saya.

“Apabila saya sedang berkempen di kawasan pedalaman Sabah, (SPRM) membocorkan kepada media massa tanpa memaklumkan kepada saya terlebih dahulu, menunjukkan memang ini satu tindakan bermotif politik,” tegasnya.

Memandangkan dua pertuduhan baharu akan dibuat pada Jumaat ini, Guan Eng tidak berhasrat untuk menghadiri proses penamaan calon PRN Sabah.

“Mungkin saya tak boleh pergi ke Sabah ketika ini kerana kena menghadapi tuduhan baharu yang akan didakwa di Mahkamah Butterworth pada Jumaat ini.

“Apabila anda didakwa, adakah anda tidak lihat apa pendakwaan itu, sudah tentu ini akan mengganggu kempen dekat Sabah

“Jadi saya tidak akan pergi Sabah, mungkin kalau ada pun lambatĀ  lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.