Petugas SPR, Marjorie Bantoi melakukan kerja-kerja persiapan akhir di Pusat Penamaan Calon N.26 Moyog sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 SEPTEMBER 2020.

UMUM telah mengetahui bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah akan
diadakan pada 26 September 2020 sejurus Parti Warisan Sabah telah
mengambil keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri
Sabah menerusi sidang media pada 30 Julai 2020 oleh Ketua Menteri
Sabah merangkap Presiden Parti Warisan Sabah iaitu Datuk Seri Panglima
Mohd Shafie Bin Apdal. Beliau telah mendapat perkenan daripada Tuan
Yang Terutama Negeri Sabah (TYT) Tun Juhar Mahiruddin. Tindakan ini
jelas sekali menunjukkan ketidakstabilan politik dalam Negara Malaysia.
Hal ini sangat membimbangkan rakyat Negara ini khasnya golongan anak
muda.

Pada pandangan saya sebagai belia di Negeri Sabah, perkembangan dan ketidakstabilan politik ini adalah sangat tidak baik buat negeri ini. Lebih-
lebih lagi kita sekarang masih berada dalam keadaan berjaga-jaga akibat pandemik yang menyerang seluruh manusia di seluruh dunia termasuk Malaysia khususnya Negeri Sabah. Tambahan pula, kes Covid-19 melonjak kepada 62 kes pada 7 September 2020 di mana sebahagian besar adalah daripada kluster Benteng Lahad Datu, Sabah. Hal ini tentulah sangat membimbangkan rakyat Sabah sebagai pengundi yang akan turun menunaikan tanggungjawab pada 26 September 2020 nanti. Oleh itu, sebagai anak muda Sabah, saya berharap agar kerajaan dapat mengawal pandemik Covid-19 ini dengan baik dan dapat menyakinkan pengundi
untuk turun mengundi pada PRN Sabah dalam masa terdekat ini.

BELIA SABAH MAHU WAJAH BARU PADA PRN SABAH 2020

Sebagai anak muda, kami perlukan “Wajah baru” dalam kanca politik
terutama sekali di Negeri Sabah. Tidak kisah dari parti mana sekalipun
samada kerajaan atau pembangkang. Kami mahukan pemimpin yang
dekat dengan rakyat, merasa denyut nadi rakyat, apa yang mereka mahu
dan apa yang perlu diutamakan. Kita tidak mahu pemimpin yang hanya
menabur janji bulan bintang pada masa kempen pilihan raya sahaja. Kami
mahu pemimpin yang menjaga kebajikan rakyat. Kini rakyat Malaysia
khasnya golongan anak muda, sudah tahu menilai mana yang baik dan
mana yang tidak baik. Anak muda Sabah sudah tahu dan sangat prihatin
terhadap situasi politik yang berlaku dalam negara ini. Kami tahu, kami
melihat, kami menilai, kami meneliti akan segala perkembangan politik
yang berlaku dalam negara tercinta ini. Jangan samakan pengundi
sekarang dengan pengundi 20-30 tahun yang lalu. Hari ini rakyat
terutama sekali anak muda sudah tahu dan prihatin terhadap pergolakan
politik yang tiada hentinya semenjak PRU14 lalu sehingga kini.

Ini tidak bermakna, kami hanya mahukan calon daripada golongan muda
akan tetapi yang kami mahukan adalah “Wajah Baru” yang berjiwa rakyat
yang dapat menjaga kebajikan rakyat di kawasan yang mereka menangi.
Kita tidak mahu wakil rakyat yang hanya tahu berjanji, tapi bila sudah
mendapat mandat daripada pengundi mereka hilang dan jarang sekali
muncul di kawasan yang di menangi. Wakil rakyat beginilah yang akan
membantutkan pertumbuhan ekonomi di satu-satu kawasan dan
masyakaratnya jauh ketinggalan apa lagi di negeri sabah yang
kebanyakkan adalah dari pedalaman atau luar bandar. Hal ini adalah
sangat penting untuk diketahui oleh wakil rakyat yang akan dipiih kelak.

Kami tidak mahu dengan pemimpin yang sering terlibat dengan skandal
politik dan rasuah. Kami sebagai golongan anak muda sangat muak
dengan percaturan yang dilakukan oleh pempimpin-pemimpin politik
yang berebut kuasa sehingga rakyat yang menjadi korbankanya.

BELIA SAMBUT BAIK PARTI YANG MENGETENGAHKAN CALON MUDA 

Kami sebagai anak muda negeri Sabah gembira dan menyambut baik
parti-parti politik yang mengetengahkan calon muda pada Pilihan Raya
Negeri Sabah 2020. Pada 10 September 2020, Pengerusi Barisan Nasional
(BN) yang juga merupakan pengerusi UMNO negeri Sabah Datuk Seri
Bung Moktar Radin yang telah menampilkan muka baharu dalam
percaturan politik mereka dalam PRN Sabah pada 26 September 2020,
yang mana UMNO telah meletakkan 95% muka baharu iaitu 29 daripada
31 kerusi yang akan dipertandingan.

Ini merupakan satu strategi yang baik kepada BN Sabah dalam berdepan
dengan Pilihan Raya Negeri. Hal ini kerana, pada PRN Sabah kali ini
pengundi muda adalah kumpulan yang sangat berpengaruh boleh
dikatakan adalah “King Maker” dalam percaturan politik Sabah. Anak
muda sekarang bukan seperti dulu lagi, kami mengundi dengan minda
yang terbuka, rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik
politik serta menjungjung tinggi prinsip-prinsip demokrasi yang ada
dalam negara ini. Anak muda kini sudah tahu siapa yang akan mereka
pilih untuk mewakili kawasan mereka kelak. Untuk itu, kami ingin beri
peringatan kepada semua calon akan bertanding untuk lebih peka dan
mendengar suara anak muda terutama sekali belia akar umbi. Rakyat Malaysia kini, terutama golongan anak muda sangat peka dan prihatin terhadap situasi politik yang berlaku dalam negara ini. Pengundi-pengundi juga sudah tahu menilai, siapa yang akan mereka undi.

Kami generasi muda sekarang tidak termakan dengan pujuk rayu apa lagi wang
ringgit. Cukup-cukuplah, berjanji bulan bintang. Berkhidmatlah kepada
rakyat kawasan jika menang nanti. Kami mahukan pemimpin yang menjaga hati rakyat, tahu denyut nadi rakyat yang menjaga kebajikan rakyat. Pada PRN Sabah 2020 ini, banyak parti tempatan yang ingin mencuba nasib, ini merupkan satu kejayaan demokrasi dalam negara.

Ianya merupakan satu perkembangan yang baik. Siapa saja yang akan
bertanding pada 12 September ini, saya ingin mengucapkan selamat maju
jaya. Semoga pada PRN Sabah ini dapat menstabilkan kembali negeri ini
daripada pergolakan yang tidak henti semenjak PRU14 lalu. Saya sebagai pengundi di kawasan N64 Sulabayan tentulah ada pilihan yang tersendiri. Perbezaan pendapat dan ideologi adalah perkara yang biasa, jangan kerana perbezaan ini, kita putus hubungan dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakan-rakan belia Sabah untuk turun mengundi pada 26 September 2020 nanti, pilih calon yang dapat mengangkat isu-isu di kawasan anda , calon yang berjiwa rakyat dan merasa denyut nadi rakyat. Jangan pilih calon berdasarkan bangsa atau berdasarkan talian keluarga, kerana jika mereka menang sakalipun adakah mereka dapat membela nasib kita? Jika tidak, apa gunanya mereka dipilih. Oleh yang demikian, Berfikir dengan minda yang terbuka, rasional dan jangan terpengaruh dengan retorik politik yang akan merugikan bangsa dan keturunan kita kelak.

HIDUP ANAK MUDA!

 

Aby Al Fahd Abdullah Sani
Ahli Parlimen Belia Malaysia
Sesi 2019/2021