Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (tengah) berbual bersama sebahagian pelajar sambil diiringi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Professor Dr Azizan Abdullah (empat kanan) dan Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam, Muhammad Nursyahmi Shaare (dua kiri) pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia Sesi 2019/2020 di Hotel Geno, Subang Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 SEPTEMBER 2020

SUBANG JAYA – Masalah perumahan yang dihadapi para pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) kerana kos sewaan tinggi boleh diatasi dengan pembangunan semula tanah milik universiti awam itu sebagai asrama dengan bayaran rendah.

Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia merupakan ideanya sendiri ketika Barisan Nasional (BN) menjadi Kerajaan Persekutuan dan kini usaha itu akan disambung semula dengan kerjasama pihak swasta.

Zahidi yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM lebih 40 tahun lalu berkata, usaha itu bagi membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah terpaksa menyewa rumah susulan kapasiti asrama di dalam kampus terhad.

“Kita minta syarikat-syarikat swasta ini berbincang kalau ada tanah-tanah kosong di kawasan universiti itu untuk mereka mendirikan asrama-asrama dengan bayaran yang rendah.

“Kita akan cuba dapatkan pandangan ataupun bantuan ataupun ihsan daripada beberapa syarikat swasta yang berjaya supaya mereka ini dapat membina asrama dengan kadar bayaran balik yang murah.

“Saya pun tengah berbincang ada syarikat-syarikat yang bersetuju tapi masa tersebut apabila Kerajaan BN beralih kita hentikan rundingan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup MPP UiTM Se-Malaysia Sesi 2019/2020 di Geno Hotel, Shah Alam, hari ini.

Walaupun kebajikan pelajar bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya, namun sebagai bekas pemimpin pelajar beliau sedia membantu pelajar-pelajar yang bergelut dengan kos sara hidup tinggi ketika pandemik Covid-19.

“Sekarang ini kita boleh buat balik laa atas desakan pelajar-pelajar UiTM sebab mereka amat memerlukan kediaman sebab kita kalau boleh nak bangunkan negara kita.

“Kita nak bawa supaya rakyat Malaysia mendapat pendidikan yang tinggi untuk memajukan negara maka kita perlu beri sumbangan dengan meringankan beban dari segi tempat tinggal,” katanya.

Sementara itu, mengulas masalah pemilikan komputer kalangan pelajar UiTM daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), beliau berkata selain peruntukan kerajaan, beliau akan berunding dengan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan sumbangan.

“Saya akan cuba minta kalau boleh pihak telco dan sebagainya dapat menyumbangkan sedikit komputer untuk kita serahkan sikit kepada pelajar-pelajar susah di institut pengajian tinggi.

“Sebab sekarang ini mereka amat memerlukan laptop ini, saya akan cuba usahakan kita akan rayu kepada kerajaan dan syarikat-syarikat telco ini dapat memberi sedikit sumbangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast