Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat berucap pada Konvensyen Pemuda dan Awan Amanah Wilayah Persekutuan di Hotel Putra, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Suhaizan Kayat mengakui kedudukan beliau sebagai Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Johor di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat mencabar.

Bagaimanapun beliau  tidak berdepan dengan masalah untuk meneruskan legislatif DUN Negeri di bawah pentadbiran baharu berbanding Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

“Semua termasuk di Johor ramai pelik dan tanya bagaimana saya dapat jadi Speaker untuk dua kerajaan sekarang sedangkan negeri lain semua speaker mewakili PH sudah tiada berkuasa.

“Memang mencabar kedudukan itu…semua Speaker tidak ada lagi,, misalnya di Kedah dan Perak speaker PH letak jawatan, sahabat saya di Melaka juga disingkirkan manakala di Parlimen senario sama.

“Apabila wujud keadaan yang mana bilangan kerusi DUN 27 – 29, jadi pihak kerajaan melihat juga bahawa pemimpin-pemimpin dalam kerajaan (PN) itu tidak begitu yakin.

“Kalau dia buat sesuatu usul menggugurkan Speaker maka mereka khuatir ‘ruling’ itu tak lepas dan takut ia akan menjadi ‘ruling’ gulingkan MB pula, itulah sebenarnya mereka bersangkut di situ,” katanya semasa berucap menyempurnakan Perasmian Konvensyen Sayap Pemuda dan Awan Amanah Wilayah Persekutuan di ibu negara hari ini.

Tambah beliau, akhirnya mereka yang membentuk kerajaan PN di Johor dengan mengambil kira situasi semasa membuat keputusan mahu mengutamakan kestabilan dewan negeri.

“Maknanya mereka berpandangan bahawa selagi Speaker (saya) boleh berlaku adil ‘then proceed’ (kekal sebagai speaker).

“Tidak banyak bezanya kerana muka-muka lama masih ada. Setakat ini semuanya berjalan baik dan kita bersiap sedia apa jua keadaannya lepas ini termasuk Pilihan Raya Umum,” tegasnya.