Jangan ada pilih kasih, semua perlu jalani kuarantin.

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah membimbangkan rakyat di Semenanjung.

Justeru, orang ramai mahu kerajaan mengenakan syarat ketat iaitu setiap yang pulang dari Sabah ke Semenanjung perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di Stesen-Stesen Kuarantin.

Ini kerana, kebanyakan pemimpin dan jentera parti, sama ada dari Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) yang berulang alik berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tinggal di merata negeri di seluruh negara.

Menurut netizen bernama Hanifhanif, pemimpin dan jentera parti ini tanpa diketahui tahap kesihatannya akan pulang ke negeri masing-masing di seluruh negara dan mendedahkan risiko virus Covid-19 kepada ahli keluarga serta penduduk setempat.

“Nyawa rakyat lebih penting dari PRN Sabah,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Di Tawau semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengesahkan seorang pemimpin UMNO dari Semenanjung dikuarantin di sebuah hospital di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, Bung Mokhtar berkata, pemimpin itu masih belum disahkan positif Covid-19.

“Saya mendapat maklumat, tetapi belum ada pengesahan. Dia cuma disyaki dan belum disahkan positif,” kata Bung Moktar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menyatakan, Kluster Benteng LD semalam menyaksikan peningkatan apabila sebanyak 27 kes baharu dilaporkan di Sabah.

Ia merupakan sebahagian daripada 52 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari semalam.

Dengan kenaikan itu menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 10,219 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 734 kes dan mereka ini telah diasingkan serta diberi rawatan.

Seorang lagi netizen, Sabri Pak Sin berkata, yang pulang ke Semenanjung dari Sabah wajib menjalani proses kuarantin dan mengikut prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, jika kerajaan gagal menguatkuasakan SOP itu, bermakna rakyat di negara ini berada dalam bahaya dengan jangkitan dari mereka yang terlepas dari saringan kesihatan.

“Kepada pemimpin dan jentera yang berkempen di PRN Sabah, sila patuh pada arahan. Buat saringan terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung.

“Anda secara tidak sedar membawa virus Covid-19 di badan anda dan menjangkiti ahli keluarga, jiran, kawan-kawan serta penduduk di tempat anda,” ciapnya menerusi akaun Twitternya.

Beliau juga berharap, kerajaan berlaku adil dengan tidak mengecualikan sesiapa pun dari menjalani kuarantin termasuk Perdana Menteri, menteri, timbalan menteri mahupun ahli Parlimen. – MalaysiaGazette