KUALA LUMPUR – Dalam usaha memastikan rakyat Sabah mengundi Parti Warisan Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September ini, pelbagai cara digunakan pemimpin tertentu untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusof berkata, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng umpamanya, telah memainkan isu pembatalan projek khas bernilai RM10.68 juta yang beliau luluskan ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan sebelum ini.
Dakwa beliau, Ahli Parlimen Bagan itu dikatakan menuduh pembatalan projek khas untuk rakyat di Sandakan oleh kerajaan PN adalah tindakan balas dendam politik yang jelas terhadap kerajaan negeri Warisan Plus yang diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Yang dijadikan isu ialah pembatalan peruntukan RM1 juta untuk membaiki rumah orang cacat penglihatan yang didakwa menjadi bukti betapa kerajaan PN jelas buta hati terhadap tanggungjawabnya kepada rakyat Sabah.
“Tentulah kerajaan PN mempunyai alasan konkrit untuk membatalkan projek khas yang diluluskan Guan Eng itu. Ia bukan tindakan balas dendam politik untuk memangsakan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, Guan Eng dalam kenyataannya menyifatkan pembatalan projek khas itu oleh kerajaan PN satu tindakan politik balas dendam dan tidak menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 untuk Sabah.
Beliau mendakwa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bertindak awal sebelum PRN Sabah untuk menyekat pembiayaan kerajaan Persekutuan dengan memberikan dana yang kurang daripada kerajaan sebelumnya kepada rakyat Sabah.
Guan Eng mendakwa, beliau menerima maklum oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong bahawa projek khas yang diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu telah dibatalkan atau ditangguhkan oleh kerajaan PN.
Katanya, lima projek yang dibatalkan pada 8 Julai lalu itu melibatkan RM4.2 juta untuk menaik taraf 24 jambatan di Kampung Sim-Sim; RM4 juta untuk memasang sistem kumbahan di 400 rumah di Kampung Cina Sim-Sim; RM400,000 untuk menaik taraf dewan masyarakat di Tanjong Papat; RM1 juta projek jalan raya di persimpangan Jalan St Monica; dan RM1 juta untuk memperbaiki rumah orang cacat penglihatan.
Menurut Kamarul Zaman, makluman dari pihak berkuasa menunjukkan, pembatalan projek khas itu bukan muktamad, tetapi untuk membolehkan siasatan dijalankan di tapak projek terhadap keperluan dan kebolehlaksanaan lima projek berkenaan
“Adalah difahamkan, peruntukan untuk lima projek ini telah diluluskan Guan Eng tanpa melalui proses siasatan yang sewajarnya terhadap keperluan dan kebolehlaksanaan projek.
“Paling menonjol mengenai ketiadaan kebolehlaksanaan ini adalah kelulusan terhadap permohonan peruntukan RM1 juta oleh Vivian Wong bagi membiayai projek membaikpulih Asrama Taman Cahaya (rumah orang cacat penglihatan) di Sandakan.
“Kelulusan permohonan ini telah Guan Eng beri pada 25 November 2019, diikuti persetujuan terhadap permintaan Vivian Wong supaya projek ini diberikan secara runding terus kepada sebuah syarikat tertentu,” katanya.
Beliau berkata, apakah amalan runding terus dengan menyalurkan peruntukan kepada syarikat tertentu tanpa sebarang terma dan syarat amalan tadbir urus baik yang selari dengan prinsip Kompetensi, Kebertanggungjawab dan Ketelusan (CAT)? – MalaysiaGazette