Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad bercakap kepada media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Di Antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dengan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia dan Institusi Pondok di BoraOmbak Marina Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Ketua Wanita UMNO nampaknya ‘mengunci mulut’  apabila enggan mengulas mengenai kenyataan bosnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu ada ahli Parlimen UMNo menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Noraini Ahmad ketika ditemui selepas satu majlis yang berlangsung di sini memaklumkan tidak ada sebarang kenyataan daripada pihaknya mengenai perkara itu hari ini.

Sambil berlalu beliau enggan mengulas apa-apa dan hanya mahu menumpukan perhatiannya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya tak mahu cakap apa-apa. Saya hanya mahu tumpu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya ringkas sambil berjalan dan terus masuk ke kenderaannya.

Terdahulu, Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi ditanya wartawan berhubung kenyataan Ahmad Zahid semalam apabila menyatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang mana-mana ahli Parlimennya untuk menyokong Anwar yang berhasrat mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan sokongan majoriti ahli Parlimen yang didakwa telah diperolehnya.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson dalam sidang medianya tengahari mendakwa telah memperoleh sokongan majoriti untuk membolehkannya membentuk kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Anwar enggan mendedahkan perincian nama serta jumlah sebenar yang diperoleh sebaliknya menunggu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ramai ahli Parlimen BN, UMNO sokong Anwar – Ahmad Zahid