Pasukan PDRM. Foto Facebook Terengganu Football Club.

KUALA LUMPUR – Pasukan PDRM terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super musim depan selepas tumpas kepada Terengganu FC (TFC) 4-0 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi.

Biarpun berbaki dua lagi perlawanan, ketinggalan enam mata dengan pasukan di tangga ke-11 liga, Sabah selain berhutang satu mata, impian skuad The Cops untuk kekal dalam kancah liga elit itu telah berakhir.

Pada pertemuan itu, skuad TFC yang tewas pada tiga aksi terdahulu bermula garang apabila mendapat jaringan pertama pada minit ke-13 menerusi Muhammad Faris Ramli.

Skuad Penyu yang mendominasi permainan sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil, Khirulazuan Kidam memperoleh gol kedua menerusi sepakan penalti, Tuck pada minit ke-25.

Sebaliknya skuad Penyu yang turun bagaikan harimau luka mendapat gol ketiga pada minit ke-45 menerusi sepakan lencong menarik Tuck dari jarak kira-kira 25 meter yang menerjah ke penjuru kiri gawang pelawat untuk mengukuhkan kedudukan 3-0.

Pada minit ke-74, Faris sekali lagi berjaya menambah jaringan keempat pasukannya yang juga gol kedua peribadinya apabila menanduk masuk bola hantaran Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar. – MalaysiaGazette