KUALA LUMPUR – Pemuda Pas melahirkan rasa syukur dan mengucap tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional atas kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah malam ini.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, setelah dipertontonkan dengan segala kempen yang pelbagai daripada parti lawan, menggunakan sentimen kebencian dan hasutan, akhirnya rakyat Sabah menunjukkan kematangan dalam memilih kerajaan yang benar-benar membawa kesejahteraan yang diinginkan.

Kata beliau, kekalahan Parti Warisan+ dan rakan sekutu kuatnya, DAP adalah petanda jelas yang rakyat sudah muak dengan permainan politik yang hanya bergantung kepada sentimen dan retorik yang memusnahkan pembangunan dan kemajuan Sabah walaupun peluang selama 26 bulan telah diberikan oleh rakyat kepada mereka.

“Namun, kemenangan ini bukanlah suatu perkara yang perlu diambil sebagai kemenangan yang selesa kerana ianya adalah permulaan kepada kejayaan permuafakatan yang telah dibina sejak daripada Muafakat Nasional terbentuk sehinggalah peralihan kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Pakatan Harapan.

“Pemuda Pas berharap kemenangan ini akan membuahkan lagi kekuatan permuafakatan yang diidami rakyat Malaysia dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih besar iaitu Pilihan Raya Umum yang bakal berkumandang tidak lama lagi.

“Kekalkan fokus kita dalam memastikan tiada tangan durjana yang kembali memerintah negara dan meneruskan agenda rakyat yang terbukti membawa hasil yang cukup dirasai oleh semua lapisan rakyat dibawah Kerajaan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini. – MalaysiaGazette