Arab Saudi merancang untuk mengeluarkan semula visa pelancong seawal 2021 selepas beberapa bulan menggantungnya susulan langkah ketat kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19.- Gambar hiasan.

RIYADH- Arab Saudi merancang untuk mengeluarkan semula visa pelancong seawal 2021 selepas beberapa bulan menggantungnya susulan langkah ketat kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Bagi visa pelancong, sehingga kini kami masih berbincang dan merancang (dikeluarkan) pada awal tahun depan.

“Jika keadaan semakin baik atau ada sebarang perkembangan positif berhubung penghasilan vaksin, kami mungkin mempercepatkan (pengeluaran visa),” kata Menteri Pelancongannya, Ahmed al-Khateeb kepada Reuters.

Pada akhir Februari lalu, Arab Saudi telah menutup pintu sempadannya kepada jemaah asing serta pelancong daripada sekurang-kurangnya 25 negara.

Pada Mac, negara tersebut melarang sebarang perjalanan masuk dan keluar negara.

Menurut Khateeb, sektor pelancongan terjejas teruk dan dijangka menyaksikan penurunan sebanyak 35 peratus hingga 45 peratus menjelang hujung tahun.

Mereka terpaksa memberi fokus kepada pelancongan domestik semasa musim panas.

“Pandemik ini menyebabkan risiko sistematik kepada semua orang, bagaimanapun kami telah menyaksikan pengukuhan sektor pelancongan domestik semasa musim panas iaitu selepas tempoh kawalan pergerakan pada Januari-Mei.

“Kami menyaksikan pertumbuhan 30 peratus setahun dalam pelancongan domestik dan ini melebihi daripada jangkaan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette