Pengerusi Perikatan Nasional Sabah, Datuk Hajiji Noor (kanan) bersama Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri baharu yang lain bergambar selepas keputusan rasmi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-16 Sabah di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Prestasi Perikatan Nasional (PN) dilihat menjadi antara penyumbang kepada kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

PN, merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) yang bertanding di bawah satu logo, berjaya memenangi kira-kira 59 peratus kerusi ditandingi, iaitu 17 daripada 29 kerusi.

Ia melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Pintasan, Sulaman, Kawang, Membakut, Klias, Kuala Penyu, Karanaan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Tulid, Sook, Nabawan, Labuk dan Apas.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, cemerlang di kerusi Sulaman dengan memperoleh majoriti 3,099, mengalahkan dua pencabarnya Rekan Hussien daripada Parti Cinta Sabah (PCS) dan Aliasgar @ Ali Ashgar Basri dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan, mengekalkan kerusi DUN Tambunan dengan majoriti 6,792, dalam pertandingan enam penjuru.

Barisan Nasional (BN), yang dianggotai UMNO, MCA dan PBRS, merupakan rakan sekutu dalam GRS memenangi 14 daripada 41 kerusi ditandingi. BN-UMNO memenangi 34 peratus kerusi yang ditandingi, iaitu di Bengkoka, Tempasuk, Usukan, Pantai Dalit, Karambunai, Tanjung Keramat, Pantai Manis, Sugut, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Lamag, Sukau, Balung dan Tanjung Batu.

BN-MCA yang bertanding di empat kerusi – Kapayan, Elopura, Karamunting dan Likas – dan BN-PBRS  yang bertanding Mattunggong, Tandek, Kadamaian, Tulid dan Sook, gagal memenangi sebarang kerusi.

Prestasi BN merosot, berbanding 29 kerusi yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Melengkapkan kemenangan keseluruhan 38 kerusi bagi GRS pada PRN ialah, tujuh kerusi yang menjadi milik Parti Bersatu Sabah (PBS) iaitu di Matunggong, Tandek, Tamparuli, Kiulu, Lumadan,  Kundasang dan Telupid.

Sementara itu, Warisan walaupun gagal mempertahankan kerajaan negeri, mencatatkan prestasi lebih baik berbanding PRU14. Parti itu memperoleh 29 kerusi daripada 54 kerusi ditandingi, berbanding 21 kerusi pada PRU14.

Rakan sekutu mereka di dalam Warisan Plus, PKR, mengekalkan dua kerusi dimenangi pada PRU lalu iaitu di Inanam dan Api-Api, sementara UPKO hanya memenangi DUN Kadamaian daripada 12 kerusi ditandingi.

Pilihan raya negeri itu dilihat menjadi pertembungan sengit antara GRS dan Warisan Plus dengan parti-parti tempatan, termasuk PCS yang bertanding di kesemua 73 kerusi, gagal meraih sebarang kemenangan.

Nasib sama turut menimpa Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Liberal Democratic Party (LDP), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Sabah Native Co-operation Party (Anak Negeri), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), dan Parti Kebangsaan Sabah (PKS).

Bagaimanapun, tiga kerusi DUN berjaya dimenangi calon Bebas iaitu Datuk Seri Ruddy Awah (Pitas), Datuk Rubin Balang (Kemabong) dan Datuk Masiung Banah (Kuamut).- BERNAMA

1 Komen

  1. Alaahhaaii wartawan ni kata prestasi BN merosot berbanding PRU 14…helloooo yg Bersatu menang tu semua kerusi UMNO masa PRU 14..dan 7 kerusi yg PBS menang tu masa PRU 14, PBS tu anggota BN…cam mana ko boleh kata BN merosot??? ko ni wartawan tak buat research kah sblm menulis?

Comments are closed.