Penumpang dari Sabah yang menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2020.

LONDON – Wabak koronavirus yang melanda dunia sudah meragut satu juta nyawa, menurut data terbaharu.

Pandemik itu juga telah menjangkiti 33 juta orang.

Angka kematian itu melepasi satu juta selepas Kerajaan United Kingdom memaklumkan 17 lagi kes kematian.

Dengan itu, jumlah kematian akibat koronavirus adalah 1,000,207, kata World meter yang mengira jumlah kes itu daripada pelbagai sumber termasuk dari data-data kerajaan.

Pusat Sumber Koronavirus John Hopkins yang turut mengira jumlah kes melaporkan 995,190 kes kematian.

Sejak kes wabak ini menular di Wuhan, China pada Disember tahun lalu, corak kehidupan telah berubah secara drastik, mungkin dalam beberapa cara, tidak dapat dikembalikan semula.

Dalam tempoh enam bulan, Covid-19 telah meragut sekurang-kurangnya 500,000 nyawa dan menjangkiti 10 juta orang.

Ia hanya memerlukan separuh tempoh untuk jumlah kematian meningkat dua kali ganda.

Virus ini kini telah merebak ke 210 negara dan wilayah, menjangkiti sekurang-kurangnya 32 juta orang.

Walau bagaimanapun, jumlah kematian dan jangkitan yang sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi kerana kekurangan ujian saringan dan pelaporan yang mencukupi di banyak negara. – MalaysiaGazette