Dr Mashitah Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa bermula 28 September 2020.

Pelantikan beliau dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, selaras dengan Seksyen 17(1)(f) Perlembagaan USIM (wakil swasta).

Mashitah bukanlah insan yang asing dalam arena pendidikan tinggi negara kerana pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 16 tahun bermula 1988 hingga 2004.

Anak kelahiran Kedah yang mendapat pendidikan menengah di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah (1977-1982) ini mempunyai latar belakang pendidikan tinggi yang cemerlang iaitu merupakan lulusan Sarjana Muda Tafsir dan Hadis dari Universiti Al-Azhar Mesir (1984-1987) serta memiliki Ijazah Sarjana Shariah Islamiyyah (1994) dan Doktor Falsafah (PhD) Shariah Islamiyyah (1997) dari Darul Ulum, Universiti Kaherah, Mesir.

Malah, beliau turut memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang ‘Revealed Knowledge and Heritage’ dari UIAM (1991). – MalaysiaGazette