Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Asisten Komisyoner Muhamad Abdul Halim (kanan) bersama Pengarah Kuatkuasa Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan Malaysia, Dr. Pazil Abdul Patah (kiri) menunjukan burung-burung yang dirampas pada sidang media Op Khazanah di Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan Malaysia, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI 30 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas 63 ekor burung yang dilindungi terdiri daripada 12 jenis spesis melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dalam satu serbuan di Setapak, di sini, Isnin lalu.

Komander PGA, Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, kesemua rampasan burung yang dilindungi sepenuhnya itu bernilai RM89,200.

“Pada 28 September 2020, kita telah berjaya dalam serbuan tersebut di mana 63 ekor burung pelbagai spesis dan nilai rampasan sebanyak RM89,200.

“Kejayaan ini merupakan sebahagian daripada Op Bersepadu Khazanah yang bermula sejak Januari hingga September tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan, hari ini.

Antara 12 jenis spesis burung yang dilindungi ialah Mas Belukar, Murai Batu, Sambar Ranting, Sambar Kelicap Ranting, Daun Perut Oren, Daun Kecil, Daun Besar, Daun Sayap Biru, Rimba Telinga Perak, Rimba Genting, Serai Sultan, Bayan Serindit, Merah Luris Leher, Merbah Siam, Merbah Jambul Hitam dan Dendang Selayang.

Dalam serbuan itu juga, pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 49 tahun yang didakwa cuba menyeludup dan memperdagangkan beberapa spesis burung yang dilindungi.

“Serbuan pada 28 September 2020 kita tangkap seorang lelaki Melayu dan sindiket ini adalah berlainan daripada sindiket yang ditahan sejak awal tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kuatkuasa, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Perhilitan Malaysia, Dr Pazil Abdul Fatah pula berkata, rampasan ke atas 63 ekor burung itu terdiri daripada dua kategori iaitu spesis dilindungi sepenuhnya dan spesis dilindungi.

“Kesalahan kerana memiliki spesis burung dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas adalah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes itu disiasat mengikut Sekysen 68 Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Jabatan Perhilitan akan menjalankan siasatan lanjut berkenaan dengan tangkapan ini dan kita akan buka fail kes untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, berdasarkan serbuan pada 1 Januari 2020 dengan rampasan 1,825 ekor burung, pihaknya tidak menolak sindiket ini menjadikan Malaysia sebagai pusat pengumpulan burung spesis dilindungi sebelum di seludup ke negara jiran.

“Modus operandi sindiket ini mereka akan kumpulkan spesis burung tempatan ini, kemudian akan diseludup ke Indonesia, kerana pasaran di negara jiran adalah besar dan harga jauh lebih tinggi.

“Malah permintaan kepada burung spesis tempatan negara ini amat tinggi di Indonesia.

“Sebab itu kita berjaya rampas burung ini di perairan Johor berhampiran kawasan pantai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette