Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin kini dalam kuarantin kendiri selepas ada kontak rapat dengan individu positif Covid-19 baru-baru ini.

Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad berkata, Zuraida pulang dari Sabah pada 26 September lalu dan terus menjalani ujian swab di lapangan terbang KLIA2 sejurus tiba dan keputusan segera yang diperoleh adalah negatif.

Pada keesokannya pula, katanya, Zuraida hadir dalam program di Langkawi pada sebelah pagi dan pulang petang hari yang sama.

“Pada pagi 28 September beliau hadir ke program Malaysia Urban Forum di Kuala Lumpur dan hanya pada petangnya dimaklumkan bahawa terdapat satu kes positif Covid -19 dalam program di Langkawi pada hari 27 September tersebut.

“Pada pagi 29 September YB Zuraida sekali lagi menjalani ujian swab dan keputusannya juga negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kini YB Zuraida Kamaruddin sedang menjalani self-quarantine di kediaman beliau selama 14 hari seperti saranan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” kata Nor Hizwan.- MalaysiaGazette