Arab Saudi sudah bersiap sedia untuk membuka semula umrah pada 4 Oktober ini. foto Agensi

RIYADH – Jemaah yang disyaki dijangkiti koronavirus sama sekali tidak akan dibenarkan memasuki Masjidil Haram apabila umrah dibenarkan semula bermula 4 Oktober ini, kata Timbalan Ketua Presiden Umum untuk Urusan Dua Masjid Suci, Ahmed Al-Mansouri.

Bercakap pada sidang media sempena bermula semula musim umrah dan lawatan ke Masjidil Haram, beliau berkata, Kementerian Kesihatan telah menempatkan pusat kesihatan dengan kelengkapan penuh untuk berdepan dengan kes-kes jangkitan koronavirus.

Katanya, jemaah-jemaah umrah dibenarkan memasuki masjid itu dalam kumpulan, membabitkan 1,000 jemaah bagi setiap kumpulan.

”Para jemaah akan dipandu di trek yang terpisah dari luar Masjidil Haram ke mataf (kawasan tawaf di sekitar Kaabah) dan akan ada 16 pemimpin yang akan menerima jemaah di halaman dan mengarahkan mereka ke Masjidil Haram.

”Tawaf akan dimulakan dan para jemaah terus menuju masa’ (kawasan untuk sa’i antara Safa dan Marwah) setelah selesai tawaf dan akan keluar dari Masjidil Haram melalui pintu Marwah dan Arqam setelah selesai sa’i, “katanya, sambil menambahkan bahawa trek pertama mataf akan diperuntukkan untuk warga emas berkerusi roda dan jemaah yang memerlukan keperluan khas.

Al-Mansouri berkata, kakitangan wanita yang terlibat menguruskan dua masjid suci akan kembali bekerja untuk kali pertama setelah penangguhan sementara perkhidmatan umrah.

Katanya, waktu umrah akan bermula pada pukul 7 pagi dan berakhir pada jam 3 pagi.

“Kamera beresolusi tinggi telah dipasang di semua pintu masuk ke Masjidil Haram, dengan larangan i’ikaaf dan membawa masuk makanan dan minuman ringan ke dalam masjid.

Masjidil Haram akan dicuci sepenuhnya 10 kali sehari sebelum dan selepas ibadah umrah oleh kumpulan jemaah.

Manakala semua tandas akan bersih dan dinyah kuman enam kali sehari. Begitu juga dengan permaidani, kerusi roda dan tangga bergerak. – MalaysiaGazette