Kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman kerap dilakukan di kawasan tumpuan ramai. foto Agensi

ROM – Itali merekodkan sebanyak 2,548 kes jangkitan koronavirus dalam tempoh 24 jam.

Ia merupakan kali pertama Itali melepasi 2,000 kes dalam tempoh sehari sejak akhir April lalu.

Kementerian Kesihatannya memaklumkan terdapat 24 kes korban akibat Covid-19 berbanding 19 kes sehari sebelumnya – masih rendah berbanding ketika kemuncak pada bulan Mac dan April lalu.

Itali adalah negara pertama di Eropah yang dilanda Covid-19 dan mempunyai jumlah kematian tertinggi di benua itu, dengan 35,918 kes sejak wabak itu meletus pada bulan Februari.

Jumlah kes koronavirus di negara ini adalah sebanyak 317, 409 kes.

Namun, pelaksanaan sekatan pergerakan yang paling ketat di dunia berjaya mengurangkan penularan pada musim panas.

Tetapi kes jangkitan meningkat secara perlahan-lahan sejak dua bulan kebelakangan ini, namun masih rendah berbanding Perancis, Sepanyol dan Britain yang merekodkan ribuan kes sehari.

Kali terakhir Itali mencatatkan lebih dari 2,000 kes adalah pada 29 April, dengan 2,086 jangkitan beberapa minggu sebelum kerajaan membenarkan restoran, bar dan kedai dibuka semula.

Pada hari yang sama, kira-kira 323 orang dilaporkan meninggal dunia akibat wabak berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast