Foto agensi

GRAND RAPIDS, Mich. (Reuters) – Calon Presiden dari parti Demokrat, Joe Biden berkata, berita mengenai Donald Trump disahkan positif Covid-19 menunjukkan betapa pentingnya menangani pandemik secara serius.

Beliau turut meminta rakyat Amerika untuk memakai pelitup muka dan ianya lebih penting daripada “tunjuk kuat.”

Biden berkata demikian semasa berkempen di Michigan beberapa jam selepas disahkan negatif buat kali kedua daripada virus berkenaan.

Keputusan itu juga menambah kecaman terhadap Trump selama ini yang memandang enteng penularan wabak sejak beberapa bulan lalu dan sering kelihatan tidak memakai pelitup muka serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

Jangkitan terhadap Trump kira-kira sebulan sebelum pilihan raya itu telah menyebabkan pandemik Covid-19 meraih perhatian besar rakyat Amerika Syarikat.

Presiden itu mengalami simptom ringan dan akan berehat sehingga pulih.

Menurut White House, Trump telah dipindahkan ke suite khas di Walter Reed National Military Medical Centre di Bethesda, Maryland.

Diagnosis terhadap Trump itu dilihat akan digunakan Biden untuk menunjukkan kegagalan Presiden dalam memberi respon pantas terhadap wabak yang telah membunuh 207,000 orang di Amerika Syarikat dan sekali gus menidakkan kenyataan Trump yang pandemik ini akan berakgir tidak lama lagi.

Undian pendapat orang ramai menunjukkan pengundi lebih mempercayai Biden lebih daripada Trump dalam mengendalikan pandemik.- MalaysiaGazette