Azman Ismail

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melarang orang ramai daripada masuk atau melakukan transaksi di kawasan premis kendaliannya jika tidak memakai pelitup muka.

Oleh itu, PLUS mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal 1 meter apabila berada di kawasan awam seperti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan ketika berinteraksi dengan Pembantu Khidmat Pelanggan PLUS di lorong tol.

Peringatan ini diberikan berikutan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 secara mendadak di seluruh negara sejak kebelakangan ini terutama di negeri-negeri di mana rangkaian lebuh raya PLUS beroperasi.

”Di bawah amalan norma baharu oleh organisasi yang menguruskan premis yang dibuka kepada umum, pelanggan dilarang masuk atau melakukan transaksi sekiranya tidak memakai pelitup muka. Oleh itu, PLUS juga menggunakan pendekatan yang sama,” kata Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS.

Menurut beliau, dengan kira-kira 1.5 juta kenderaan memasuki lebuh raya setiap hari dan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 pada ketika ini, PLUS perlu sentiasa berwaspada.

”PLUS secara berterusan akan meningkatkan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan pelanggan terutamanya di kawasan R&R dan plaza tol untuk memastikan keselamatan dan keselesaan kepada petugas barisan hadapan kami, pelanggan dan rakan niaga,” katanya.

Tambah beliau, PLUS juga akan memastikan setiap anggota PLUSRonda yang berhadapan dengan pelanggan diwajbkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal 1 meter ketika hadir memberikan bantuan kepada pelanggan yang terkandas di lebuh raya.

Selain daripada pemeriksaan suhu badan pelanggan yang wajib dijalankan di setiap R&R dan pengesanan kontak melalui Aplikasi MySejahtera, PLUS turut memberi penekanan terhadap kebersihan makanan di samping kebersihan di seluruh premis R&R, hentian sebelah dan plaza tol melalui pembersihan rutin dan sanitasi secara berjadual. – MalaysiaGazette