Dr Mike Ryan

GENEVA – Kira-kira 1 dari 10 orang mungkin dijangkiti novel koronavirus, menyebabkan sebahagian besar penduduk dunia berisiko terhadap jangkitan berkaitan Covid-19, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pakar Kecemasannya, Dr Mike Ryan memberitahu Lembaga Eksekutif WHO bahawa bilangan kes wabak ini semakin meningkat di bahagian Asia Tenggara.

Malah, kes jangkitan dan kematian turut bertambah di beberapa kawasan di Eropah dan wilayah timur Mediterranean.

”Kami menganggarkan sekitar 10% populasi global mungkin dijangkiti virus ini. Ini berbeza-beza bergantung pada negara, berbeza dari bandar ke luar bandar, ia pelbagai, bergantung pada kelompok.

“Tetapi apa yang jelas ialah sebahagian besar dunia tetap berisiko.

“Kita berada dalam tempoh sukar dan wabak ini terus merebak,” ujarnya.

WHO telah menyerahkan senarai pakar untuk mengambil bahagian dalam misi antarabangsa kepada China untuk dipertimbangkan.

Misi ini untuk menyiasat asal usul koronavirus, kata Mike. – MalaysiaGazette