Gambar hiasan

NEW YORK – Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell dan Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif Bank Pusat Eropah, Philip Lane menggesa kerajaan untuk memberi bantuan baharu bagi membantu isi rumah serta perniagaan ketika menghadapi pandemik Covid-19.

Kedua-duanya berpendapat kemelesetan ekonomi yang dicetuskan oleh koronavirus kini memasuki fasa baharu yang kritikal.

Harapan untuk melihat sokongan fiskal baharu di Amerika Syarikat bagaimanapun berkecai apabila Presiden Donald Trump dengan sengaja membatalkan rundingan yang sedang berlangsung dengan parti Demokrat.

Kes-kes baharu Covid-19 menyaksikan lonjakan di sebahagian kawasan di Amerika Syarikat dan Eropah sekali gus menambah prospek terhadap sekatan-sekatan baharu dalam perdagangan meskipun kesemua industri dan jutaan isi rumah yang lain masih lagi belum sempat bangkit daripada impak pelaksanaan perintah tersebut ketika gelombang pertama dahulu.

Malah kerajaan-kerajaan tempatan juga masih bergelut untuk mengatasi masalah kehilangan perolehan cukai.

“Risiko kesihatan dan kemungkinan pertumbuhan ekonomi perlahan ditambah dengan peningkatan pengangguran bermakna ia adalah “kemelesetan dinamik”,” kata Powell.

Tindakan pantas yang dilakukan oleh Rizab Persekutuan dan diluluskan Kongres dahulu menurut beliau, telah membantu mengelakkan perusahaan dan isi rumah menghadapi masalah yang lebih besar.

Namun begitu, langkah tersebut masih belum sempurna dan sekiranya kerajaan Amerika Syarikat masih kedekut untuk meneruskan bantuan seterusnya, ia akan menyukarkan proses pemulihan dan menimbulkan masalah yang tidak sepatutnya kepada isi rumah dan perniagaan, tegas Pengerusi Rizab Persekutuan itu lagi.

Tindakan Trump membatalkan rundingan tersebut boleh mempengaruhi proses pemulihan ekonomi global.

“Minggu-minggu berikutnya adalah penting bukan sahaja dari segi isu kesihatan awam tetapi juga keyakinan pengguna dan pelabur.

“Kita melihat lonjakan kes dan sekatan-sekatan yang lebih ketat.

“Tidak lama lagi, tidak boleh tidak, kita memerlukan maklum balas fiskal yang mampu memberikan hasil yang bagus kepada makroekonomi,” kata Lane.

Powell dan Lane berkata demikian semasa mesyuarat Persatuan Kebangsaan Bagi Perniagaan dan Ekonomi secara dalam talian.- MalaysiaGazette