Tun Mohd Ali Rustam

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah dilantik sebagai Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang ketiga.

Pelantikan beliau itu adalah bagi menggantikan Canselor UTeM sebelumnya yang merupakan bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Beliau telah dilantik sebagai Canselor UTeM oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuatkuasa selama empat tahun mulai 15 Ogos 2020 hingga 3 Jun 2024.

Tun Mohd Ali yang merupakan anak jati Bukit Katil, Melaka telah dilahirkan pada 24 Ogos 1949 merupakan graduan Sarjana Muda Kemasyarakatan (Pembangunan Ekonomi), Universiti Sains Malaysia (USM) 1984 dan Sarjana Sastera, Universiti
Malaya pada tahun 2013.

Beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka yang ketujuh pada 4 Jun 2020 lalu manakala sebelumnya menabur bakti sebagai Ketua Menteri Melaka dari 1999 hingga 2013. – MalaysiaGazette