KUALA LUMPUR – Universiti Multimedia (MMU) baru-baru ini menganjurkan Majlis Pengisytiharan Diploma dan Ijazah secara dalam talian bagi meraikan para graduan yang menamatkan pengajian pada 2020 sebagai pematuhan kepada norma baharu yang bertujuan memutuskan rantaian Covid-19.

Majlis Pengisytiharan Diploma dan Ijazah secara dalam talian ini dipercayai yang pertama kali diadakan seumpamanya di Malaysia itu, disaksikan secara siaran langsung melalui Facebook rasmi MMU oleh lebih 2,600 graduan di rumah masing-masing, manakala sekumpulan kecil hadirin terpilih berada di lokasi majlis di Dewan Tun Canselor, di kampus Cyberjaya di sini .

Pengisytiharan berkenaan diumumkan oleh Tun Zaki Azmi, Canselor MMU.

Walaupun Majlis Konvokesyen MMU ditangguhkan ke tahun depan, universiti berpendapat adalah wajar untuk meraikan pelajar cemerlang dalam pelajaran dan ko-korikulum melalui majlis berkenaan.

Justeru, seramai 4 pelajar Diploma, 23 pelajar ijazah sarjana muda serta 11 pelajar pascasiswazah menerima perhargaan dalam majlis tersebut.

Anugerah tertinggi pada majlis pengisytiharan itu ialah Anugerah Canselor, yang pertama kalinya diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Hazmi Hamizan Mohd. Zaki, dari Fakulti Pengurusan, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor berikutan kejayaannya menamatkan Sarjana Muda Ekonomi Analitik dengan Kepujian Kelas Pertama dengan PNGK 3.99. Selain itu, pencapaian cemerlang beliau antaranya menerima Sijil Dekan di setiap semester sepanjang pengajiannya, telah menubuhkan syarikatnya sendiri,dan kini bekerja sebagai penganalisis pelaburan dengan Khazanah Nasional Berhad.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud, Presiden MMU, melahirkan rasa gembira dengan kejayaan graduan-graduan dan para pemenang anugerah pada majlis itu.

”Kejayaan mereka membuktikan MMU adalah sebuah institusi yang terus melahirkan generasi cemerlang dan tenaga mahir masa depan. Saya amat bangga melihat mereka bukan sahaja sangat berkebolehan dalam
membangunkan kecemerlangan diri tetapi juga boleh memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan Hasan E.H Abulaban, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Electrikal) yang berasal dari Palestin, menerima Anugerah Presiden dan Anugerah Kepimpinan
Alumni MMU sebagai pengiktirafan ke atas kecemerlangannya dalam akademik dan kokorikulum.

Selain Hasan, Anugerah Kepimpinan Alumni MMU turut diberikan kepada Chai Yee Ting dan Chia Jason daripada fakulti yang sama. – MalaysiaGAzette