Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim (2 dari kanan) sedang menyaksikan Galeri Interaktif Planetarium Al Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkongsi kepakaran bersama dengan Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memartabatkan pendidikan ilmu Falak Syarie sekaligus berjaya menaik taraf Galeri Falak dan Teleskop Robotik di Kompleks Falak Al-Khawarizmi Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka.

Kejayaan itu telah dilaksanakan oleh sekumpulan tenaga pakar dari UTeM menerusi Jawatankuasa Teknikal Falak UTeM di bawah Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) bersama Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTeM.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM komited bagi berkongsi kepakaran yang kami miliki demi kepentingan dan pembangunan bersama dalam merentas disiplin ilmu.

Jelas beliau, kejayaan itu sekaligus menjadikan Kompleks Falak Al-Khawarizmi merupakan satu-satunya Kompleks Falak di Malaysia khususnya yang menggunakan konsep media interaktif dalam memberikan pendidikan falak kepada pengunjung.

Katanya, konsep berkenaan mampu menarik pelancong dan ianya mesra pengguna dengan hanya memerlukan telefon pintar untuk mengakses aplikasi yang disediakan di Galeri Falak dengan menggunakan Augmented Reality, Visual Reality dan hologram.

“Kewujudan UTeM di Melaka mampu membantu agensi berkaitan menggunakan kepakaran teknologi maklumat dan teknikal secara bersama dalam memartabatkan pendidikan ilmu falak di Malaysia,” jelas beliau sewaktu Majlis Perasmian Galeri Interaktif Planetarium Al Khawarizmi, Tanjung Bidara baru-baru ini.

Pada majlis perasmian tersebut turut diadakan sesi pertukaran dokumen pemetraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan Jabatan Mufti Melaka di situ sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

UTeM diwakili oleh Raha manakala Jabatan Mufti Negeri Melaka yang diwakili oleh Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.- MalaysiaGazette