KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam)
berjaya menerbitkan peringkat ketiga Sukuk Murabahah (suku) bernilai RM700 juta di bawah Program Sukuk Murabahah RM10 bilion pada hari ini.

Sukuk ini merupakan Sukuk Subordinat kedua yang diterbitkan Bank Islam dalam tahun 2020, dikategorikan sebagai modal kawal selia aras 2 Bank Islam dalam mematuhi Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) bagi Institusi Perbankan Islam oleh Bank Negara Malaysia.

Penerbitan Sukuk ini akan meningkatkan kecukupan modal Bank Islam, sejajar dengan keperluan Basel III.

Sukuk ini boleh ditebus balik pada nilai nominal penuh setelah tempoh matang dan didatangkan dengan pilihan pembelian pada tahun kelima terbitannya.

Ia juga menerima penarafan A1/stabil oleh RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings).

Program Sukuk Murabahah Bank Islam ini telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 6 September 2018.

Di bawah program tersebut, Bank Islam diberi fleksibiliti untuk menerbitkan Sukuk Murabahah Subordinat dan/atau Sukuk
Murabahah Kanan dalam tempoh terlibat.

RAM Ratings telah mengesah semula penarafan jangka panjang A1/stabil dan AA3/stabil kepada masing-masing Sukuk Murabahah Subordinat dan Sukuk Murabahah Kanan, di bawah Program Sukuk Murabahah ini.

Bank Islam juga merupakan Penasihat Utama, Penyusun Utama, Ketua Pengurus dan Penasihat Shariah bagi Program Sukuk Murabahah tersebut. – MalaysiaGazette