Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sepatutnya mencari jalan bagaimana hendak menyelesaikan masalah air yang sering terputus, bukan beli dron berharga RM2 juta untuk buat kajian bagi mengatasi punca gangguan bekalan air.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, selain itu, kos pembelian empat unit dron berharga kira-kira RM2 juta juga menjadi tanda tanya kerana harga itu dianggap tidak munasabah.

“Rakyat mengharapkan Menteri Besarnya selesaikan masalah air, tetapi dia sibuk beli dron sampai tiga empat biji (unit) ni apa hal?

“Memang nak buat perancangan dan kita akui perancangan itu bagus, tapi beli dron sampai harga RM2 juta, ini satu pembaziran dalam keadaan rakyat berdepan dengan pandemik Covid-19 dan masalah air.

“Kalau Amirudin nak (beli) dron murah, hubungi saya, saya nak beri senarai pembekal dron yang murah. Dalam keadaan pandemik Covid-19 dan masalah air pun masih lagi nak buat duit,” katanya menerusi Instagram beliau hari ini.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal Selain Islam, Hee Loy Sian mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pembelian empat unit dron yang akan diuruskan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui Skuad Pantas LUAS.

Dron itu katanya, akan digunakan untuk memantau Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat, selain berkeupayaan mengambil sampel air termasuk di kawasan terpencil dengan lebih tepat.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan anggaran RM2 juta itu bukan harga tetap empat unit dron berteknologi tinggi model DJI Matrice 300 yang akan digunakan kerajaan negeri mulai bulan November ini bagi memantau pencemaran sungai di Selangor.

Sebaliknya, kata beliau, angka itu termasuk beberapa kos lain seperti pembayaran gaji pekerja.

Armand Azha kemudiannya mempersoalkan kenapa baharu sekarang kerajaan Selangor hendak membuat kajian, selepas banyak kali berlaku gangguan bekalan air?

Katanya, kenapa tidak buat kajian dari tahun 2008 iaitu permulaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Selangor?

“Kajian ini patut dibuat kira-kira 12 tahun lalu, bukan baharu sekarang fikir nak beli dron nak buat kajian. Habis tu, sejak 2008 memerintah apa PH buat? Cap ayam betullah.

“Sekarang ini Menteri Besari, tolonglah selesaikan masalah air di Selangor ini, janganlah buat perkara-perkara mengarut. Sekejap kata paip pecah kerana kilang haram, tetapi DAP menafikan ada kilang haram.

“Mana satu betulnya? Ada kilang (haram) atau tak ada kilang? Kalau ada kilang haram kenapa sepanjang 12 tahun tidak ambil tindakan, tidak saman, tidak tutup?,” soal beliau.

Katanya, tidak logik sebarang permasalahan yang berlaku itu perlu difikirkan oleh orang lain, sepatutnya Menteri Besar dan kumpulan pentadbirannyalah yang mencari jalan penyelesaian. – MalaysiaGazette