Salah seorang peserta menyusun minyak masak terpakai semasa Program Kitar Semula Pelihara Alam Sekitar dianjurkan UTeM baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Berteraskan sikap peka, prihatin dan inisiatif terhadap penjagaan alam
sekitar, warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama-sama menyertai program Hari Kitar Semula yang diadakan baru-baru ini.

Program Hari Kitar Semula ini merupakan anjuran Pejabat Keselamatan
Pekerja dan Kelestarian Alam Sekitar (KPKA) UTeM bertempat di
Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh dan Kampus Induk UTeM, Durian
Tunggal, Melaka.

Pengarah KPKA UTeM, Profesor Madya Ts Juhari Ab Razak berkata, objektif program ini bagi meningkatkan kesedaran betapa pentingnya amalan kitar semula dalam kehidupan warga UTeM.

Program itu turut memberikan impak kesedaran budaya kitar semula kepada universiti dalam konteks merealisasikan konsep ‘Kampus Lestari’.

Katanya, data jumlah kutipan barangan kitar semula penting untuk memenuhi kriteria dalam UI Greenmetric bagi tahun 2020 agar tercapai sasaran UTeM pada tahun ini berada pada kedudukan bawah 100, yang mana UTeM kini berada pada kedudukan 114 di peringkat dunia.

Impak program ini antara lain ianya telah memudahkan warga UTeM untuk menghantar barang kitar semula di satu tempat sahaja dan tidak perlu ke pusat pengumpulan kitar semula yang lain.

Hasil pelaksanaan Hari Kitar Semula telah berjaya meningkatkan peningkatan jumlah kutipan barangan kitar semula di samping warga kampus terus menyahut pelaksanaan aktiviti ini serta barangan kitar semula, katanya lagi. – MalaysiaGazette