Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Setakat pertengahan Oktober, CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd. telah meluluskan lebih 60,000 permohonan bantuan pembayaran semula hutang bernilai RM10 bilion daripada peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana.

Dalam satu kenyataannya, bank itu berkata, ia telah memproses dan meluluskan hampir 100 peratus permohonan.

Ketika ini, kira-kira 85 peratus daripada pelanggannya telah memulakan semula pembayaran pinjaman selepas tempoh moratorium tamat pada 1 Oktober lalu manakala 15 peratus lagi telah mendapatkan bantuan pembayaran semula dan sebahagian lagi masih berunding untuk menstruktur semula syarat-syarat pinjaman mereka dengan CIMB.

“CIMB komited untuk memastikan kehendak para pelanggan dapat dipenuhi dan kami akan memastikan perkhidmatan perbankan diteruskan sama ada melalui cawangan mahupun platform perbankan atas talian,” katanya.- MalaysiaGazette