Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju cadangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan darurat dengan alasan bagi menangani penularan Covid-19.

Katanya, beliau bimbang dengan laporan yang mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen digantung dan darurat diisytiharkan.

“Cadangan kerajaan PN ini konon untuk melaksanakan darurat bagi menangani penularan Covid-19 adalah alasan dangkal yang tidak dapat meyakinkan rakyat.

“Alasan sebenar darurat dilaksanakan ialah supaya kerajaan PN dapat mengelak membentangkan Belanjawan Negara pada 6 November ini dan menghadapi Ahli-ahli Dewan Rakyat pada 17 November sama ada akan melulus atau menolak Belanjawan 2021 itu.

“Sekiranya belanjawan itu ditolak Dewan Rakyat, itu bererti Muhyiddin dan kerajaannya hilang majoriti kepercayaan dari Ahli-ahli Parlimen. Natijahnya, Muhyiddin secara konvensyen demokrasi berparlimen perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Petang ini, Muhyiddin tiba di Istana Abdulaziz di Kuantan, bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri dilihat memasuki pagar Istana Abdulaziz pada kira-kira jam 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang.

Menurut Hassan, Perdana Menteri tidak wajar secara melulu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong  untuk baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat di Malaysia kerana dalam keadaan genting ini perlu dirujuk apa yang disebut dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan.

Jelas beliau, Perkara 150. (1) menyatakan, jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamataan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Katanya, darurat besar yang dimaksudkan itu disebut tiga perkara, pertama, keselamatan; kedua, kehidupan ekonomi; dan ketiga, ketenteraman awam.

“Penularan Covid-19 tidak termasuk dalam kategori tersebut. Begitu juga pergolakan politik kepartian bukannya sejenis darurat keselamatan.

“Darurat keselamatan atau ketenteraman awam adalah seperti peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969. Begitu juga undi tidak percaya yang menunggu Muhyiddin di Dewan Rakyat yang akan bersidang bermula 2 November depan, bukan sejenis darurat keselamatan atau ketenteraman awam.

“Malah, risiko Belanjawan Tahun 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini jika tidak diluluskan oleh Ahli-ahli Parlimen, bukan satu ancaman kehidupan ekonomi yang memerlukan satu proklamsi darurat diisytiharkan,” ujar beliau.

Hassan berharap, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan juga Perdana Menteri berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menghormati demokrasi dan institusi parlimen supaya tidak tersilap langkah membawa negara ini ke ambang kediktatoran dengan mematikan suara Ahli-ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat di dalam PRU 14 yang lalu.

Tegas beliau, jika Muhyiddin sudah kehilangan sokongan Ahli-ahli Parlimen dan majoriti di Dewan Rakyat, beliau sepatutnya meletakkan jawatan dengan segera, bukannya mengisytiharkan darurat untuk terus berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Darurat salah, tak darurat pun salah… Dulu jerebu satu negara pun dah diishtiharkan darurat, ini kan pula wabak Covid 19 yang sudah melibatkan banyak kematian.

Comments are closed.