PLNG2

KUALA LUMPUR- Sukuk Murabahah bertempoh 20 tahun bernilai RM1.7 bilion yang diterbitkan oleh Pengerang LNG (Two) Sdn. Bhd. (PLNG2) mencatatkan lebihan langganan melebihi tiga kali ganda.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Bhd. (PGB), Kamal Bahrin Ahmad berkata, kejayaan sukuk di bawah Program Nota Jangka Sederhana itu mencerminkan keyakinan pasaran terhadap kekukuhan kredit syarikat yang diberi penarafan AAA oleh Malaysian Rating Corporation Bhd.

“Kami gembira dengan sambutan luar biasa dan permintaan daripada pelabur yang percaya kepada model perniagaan kami yang baik dan mampan meskipun terpaksa berdepan dengan cabaran global,” katanya yang juga Pengerusi PLNG2.

PGB memiliki 60 peratus kepentingan dalam PLNG2.

Tambah beliau lagi, hasil daripada penerbitan sukuk tersebut akan digunakan untuk urusan berkaitan pematuhan syariah terutamanya membayar semula secara penuh tunggakan pinjaman pemegang saham dalam dolar Amerika.- MalaysiaGazette