Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika meninjau Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bandar Sri Permaisuri, Cheras. foto ISKANDAR HAMIDI, 24 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR- Tahap pematuhan orang ramai pada hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) di ibu kota didapati semakin baik.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, jika dibandingkan tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika PKPB mula dilaksanakan dengan kini ia jauh berbeza dan memuaskan.

Bagaimanapun ujar beliau, masih ada kes terpencil bagi mereka yang ingkar SOP.

“Pada mulanya banyak kompaun kita keluarkan tapi hari ini hari ke-11 agak sukar mendapati yang melanggar SOP. Agak sukar sekarang yang langgar SOP. 

“Ramai yang mematuhi, bagaimanapun hari ini satu di kedai makan duduk (restoran) satu meja tiga orang. Itu menunjukkan masyarakat semakin faham,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamed Mokhsein memaklumkan semenjak PKPB dikuatkuasakan di Kuala Lumpur sehingga semalam sebanyak, 95 kompaun ingkar PKPB dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras.

“Seramai 22 dikompaun kerana  tidak mencatit  butiran di buku atau rekodkan diri menerusi MySejahtera mnakala seramai 18 pemilik kedai dikompaun kerana membiarkan pelanggan melanggar SOP. 

“Makan di restoran dengan melebihi individu yang dibenarkan pada satu meja (27 kompaun), tidak memakai pelitup muka 23 kompaun,” katanya lagi.

Selain itu, Sekatan Jalan Raya (SJR) di kawasan Cheras mendapati masih ada yang tidak patuh kepada jumlah penumpang dalam kereta.

Beliau memaklumkan IPD Cheras mempunyai 17 pasukan pemantauan pematuhan SOP yang digerakkan setiap hari bermula 6 pagi sehingga 10 malam.

Untuk rekod, Cheras salah satu daerah di dalam KL yang telah dikuatkuasakan PKPB sejak 14 Oktober yang lalu bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Dijangka PKPB di KL termasuk Putrajaya, Selangor dan Sabah akan tamat pada 27 Oktober.-MalaysiaGazette