KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra kekal dengan pendiriannya bersetuju untuk negara diisytiharkan darurat bagi membolehkan usaha menangani wabak Covid-19 berjalan dengan baik.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abudl Latif berkata, dengan darurat juga dapat menghentikan segala ketenangan politik yang tidak membawa keuntungan kepada rakyat dan negara.
“Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara sudah pasti memandang perkara ini dengan amat serius sebelum keadaan ekonomi negara dan kesejahteraan serta keselamatan rakyat menjadi lebih buruk.
“Bagaimanapun, kita agar seorang calon tokoh yang berintegriti, berwibawa dan negarawan yang dihormati dan diterima oleh semua pihak dilantik bagi memimpin dan memperkasakan kembali ekonomi serta membawa kestabilan politik.
“Jika tidak, tindakan mengisytihar darurat atau apa juga nama seumpamanya dengan mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri akan mewujudkan perspektif buruk terhadap Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Kata Nasrul Ali Hasan, pelaksanaan darurat sewajarnya satu langkah melakukan pembetulan dan penambahbaikan pada sektor ekonomi dan keselamatan negara, bukan kerana motif kepentingan politik mana-mana pihak.
Beliau berkata, pengajaran yang baik perlu ditauladani kepada generasi masa depan supaya kualiti pemimpin muda akan terus mencerminkan sikap ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menangani sebarang isu kritikal seperti yang berlaku masa ini. – MalaysiaGazette
















