Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Daripada menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat ekonomi kerana wabak Covid-19 lebih baik Tan Sri Muhyiddin Yassin menyegerakan sidang Dewan Rakyat untuk menentukan sokongan kepada kepimpinan sekarang.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, memanggil sidang Parlimen secepat mungkin adalah pilihan terbaik dan jalan penyelesaian bagi kemelut politik hari ini.

“Biar Ahli Dewan Rakyat menentukan sokongan kepada kepimpinan negara atau Perdana Menteri sekarang.

“Jika gagal mendapat sokongan majoriti, terserah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan, dengan Muhyiddin boleh mencadangkan bubar Parlimen.

“Bagaimanapun, terpulang kepada budi bicara baginda untuk perkenan membubarkan atau tidak,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dr. Ibrahim juga berkata, Al-Sultan Abdullah boleh mula proses segera mencari calon Perdana Menteri baharu, iaitu yang mendapat sokongan majoriti.

Atau katanya, Yang di-Pertuan Agong menyerah terus kepada Dewan Rakyat untuk menentukan calon yang mendapat sokongan majoriti Ahli Pariimen melalui proses undi.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, ada usaha dari kerajaan sekarang untuk mengelakkan dari diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, dengan meletakkan Kabinet supaya Yang di-Pertua Agong memberi perkenan agar diisytiharkan apa yang dinamakan darurat ekonomi kerana Covid-19.

“Memang semua mengakui negara dalam keadaan cemas akibat Covid-19 dan kepimpinan negara yang tidak stabil, persoalannya bagaimana untuk mengatasi kemelut dan krisis ini?

“Mengisytiharkan setakat darurat ekonomi membawa makna dan tuduhan ianya strategi untuk mengelak undi tidak percaya kepada Muhyiddin dan Belanjawaan 2021 akan gagal mendapat kelulusan Dewan Rakyat.

“Ini sudah terang lagi bersuluh. Ianya umpama bawa lari tiang gol bola sepak, iaitu cara untuk terus kekal berkuasa dan semua orang nampak termasuk yang rabun,” katanya.

Kata Dr. Ibrahim, kenapa tidak dipersembahkan kepada baginda untuk isytiharkan darurat penuh seperti 13 Mei 1969 dan meletakkan negara di bawah Mageran selama dua tahun?

Katanya, negara dan rakyat semakin cemas apakah perlu menunggu huru hara dahulu baru perlu mengisytiharkan darurat sepenuhnya?

“Bukankah mencecah lebih baik dari mengubatinya bila sudah dirasai mula timbul pelbagai masaalah yang sukar diatasi.

“Apabila darurat penuh diisytiharkan, terserah kepada baginda untuk melantik siapa yang sesuai menjadi Pengarah Mageran.

“Banyak masaalah negara boloh diselesaikan di bawah Mageran dan kembali kepada proses demokrasi mengikut masa yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.