Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah ketika hadir pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Para majikan dipertanggungjawabkan memantau pekerja masing-masing yang diarahkan untuk bekerja dari rumah.

Langkah itu adalah bagi mengelak ada dalam kalangan pekerja mereka yang cuba mengambil kesempatan daripada pelepasan bekerja di rumah untuk melakukan aktiviti luar seperti ke pusat beli-belah dan sebagainya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, konsep duduk di rumah supaya ia dapat memutuskan rantaian Covid-19 dalam masyarakat dengan tidak memberi peluang dan ruang untuk dijangkiti.

“Kerajaan sudah mengenal pasti dan memberi peluang untuk bekerja dari rumah namun, bukan bermakna mereka boleh berjalan atau ke pusat beli-belah dan sebagainya.

“Jadi, majikan dipertanggungjawab untuk melihat kakitangannya yang bekerja dari rumah dan sebagai contoh jika diberi tugasan yang perlu disiapkan dalam tempoh lapan jam tetapi tidak disiapkan maka majikan boleh mengambil tindakan.

“Jika ada tugasan boleh laksanakan bukan duduk rumah bersahaja tanpa tugasan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, beliau sendiri berpengalaman duduk di rumah selama 14 hari sebelum ini di mana pada awalnya dirasakan tidak ada banyak kerja tapi berlaku di sebaliknya.

“Bagaimanapun, untuk tempoh 14 hari itu, saya berasa seperti berkerja 14 jam sehari di mana dari pagi hingga 8 malam ada tugasan yang dibuat iaitu bermesyuarat, melihat data, sidang media di Facebook dan memuat naik perkembangan Covid-19 di media sosial sehingga tidak masa hendak keluar rumah.

“Inilah yang kita ubah suai dan inovasikannya iaitu prinsipnya duduk di rumah bukan pergi ke pusat beli-belah,” ujarnya. – MalaysiaGazette