Habuk kuning yang melanda Korea Utara. foto Agensi.

SEOUL – Korea Utara memberi amaran kepada rakyatnya supaya tinggal di dalam rumah dengan mengatakan habuk kuning bermusim yang bertiup dari China mungkin membawa koronavirus baharu ke negara itu.

“Oleh kerana jangkitan koronavirus terus tersebar di seluruh dunia, keperluan untuk menangani debu kuning dan mengambil langkah-langkah menyeluruh menjadi lebih kritikal,” kata akhbar rasmi parti Korea Utara, Rodong Sinmun.

Dakwaan virus dari Gurun Gobi yang terletak sejauh 1,900 kilometer boleh menyebabkan tersebarnya Covid-19 ke Korea Utara sukar diterima.

Ini kerana amalan penjarakan fizikal yang dicadangkan adalah dua meter walaupun Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat memaklumkan titisan yang mengandungi virus itu kadang-kadang boleh bertahan lama di udara selama berjam-jam.

Akhbar Korea Utara menasihatkan warganegara republik itu terus melakukan sekatan pergerakan daripada melakukan aktiviti luar dan mesti mengikuti garis panduan pencegahan seperti memakai pelitup muka ketika keluar.

Korea Utara telah memaklumkan tiada kes koronavirus, meskipun perkara itu dipersoalkan oleh pakar-pakar kesihatan.

Pyongyang telah melaksanakan kawalan sempadan yang ketat dan tindakan kuarantin untuk mencegah wabak.

Televisyen KRT yang dikendalikan oleh kerajaan pada hari Rabu memaklumkan habuk kuning dan debu halus mungkin mengandungi bahan berbahaya, seperti logam berat dan mikroorganisma patogen termasuk virus.

“Orang ramai mesti menjaga kebersihan diri setelah pulang dari luar,” kata pembaca berita.

Pada hari Khamis, kedutaan Rusia di Korea Utara menulis di Facebook bahawa Kementerian Luar Korea Utara telah memerintahkan semua pengunjung ke negara itu dan kakitangannya untuk berada di dalam premis. – MalaysiaGazette