Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya mengumumkan hasil perbincangan beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan, semalam.

Sikap berdiam diri daripada menjelaskan situasi sebenar yang berlaku menyebabkan timbul pelbagai spekulasi dan khabar angin yang tidak baik.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau sendiri tidak pasti apa keputusan sebenar Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya pagi semalam tetapi spekulasi kuat mengatakan “Parlimen digantung” atau Prorogue Parliament.

Katanya, Prorogue Parliament bermaksud sidang Parlimen digantung tetapi pada masa sama Parlimen tidak dibubarkan dan dengan itu tidak perlu digantikan Perdana Menteri.

“Penggantungan ini untuk tempoh tertentu. Maklumat mengatakan Kabinet setuju untuk tempoh enam bulan sahaja tetapi apa tujuannya? Untuk muslihat politik atau memerangi Covid-19? Semoga Covid-19 tidak dijadikan ‘kambing hitam’.

“Bolehkah prorogue Parliament memutuskan jangkitan corona virus? Bukankah lebih baik teruskan sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Puad, selepas Muhyiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong di Pahang petang semalam, tiada pengumuman rasmi dibuat, bahkan Perdana Menteri juga tidak mengadakan sidang media.

Justeru, kata beliau, teka teki semalam menambahkan lagi kekeliruan rakyat.

“Jangan nanti rakyat tuduh kerajaan yang keliru kerana gagal bantu rakyat akibat padah ekonomi. Kalau betul keputusan semalam ialah Prorogue Parliament, ia boleh menimbulkan beberapa persepsi lain.

“Pertama, kerajaan dapat mengelak usul undi tidak percaya bila Parlimen digantung, kedua, kerajaan mahu memastikan Bajet 2021 tidak ditolak melalui undian di Parlimen dan ketiga, Muhyiddin menganggap dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dia sudah cukup nombor adalah benar. Justeru “Prorogue” Parlimen akan menggagalkan cita-cita Presiden PKR itu,” katanya.

Mohd Puad berkata, tindakan itu juga turut merencat keputusan Biro Politik UMNO yang mahu menghantar terma hitam putih kepada Muhyiddin, apatah lagi jika membabitkan rombakan Kabinet.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata, dengan itu juga pendaftaran Muafakat Nasional (MN) mungkin akan tertangguh lama.

“Persoalan besar ialah Bajet 2021. Perdana Menteri akan menggunakan perbelanjaan kecemasan untuk perbelanjaan tahun hadapan.

“Bajet itu bukan lagi bajet rakyat kerana ia tidak dibahas dan diluluskan oleh Parlimen. Ia akan dituduh bajet tidak telus,” katanya. – MalaysiaGazette