Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Semua ahli politik perlu mengambil pengajaran dan memahami maksud tersirat titah Yang di-Pertuan Agong agar menghentikan segera segala politiking yang boleh membinasakan negara dan menyusahkan rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO menerusi Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan gencatan politik dan terbaharu perdamaian politik setelah mendapati kemelut yang berlaku semakin tegang.

Justeru, atas semangat itu, Pemuda UMNO mencadangkan lima perkara iaitu, pertama, meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memanggil semua presiden parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang berunding secara pra-persidangan Parlimen bagi memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kesejahteraan rakyat.

Kedua, katanya, Parlimen Batu Sapi dikekalkan status-quo sebagai kerusi Parti Warisan tanpa perlu ditandingi oleh mana-mana parti politik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang tidak boleh dielakkan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Ketiga, libatkan wakil semua parti tidak kira kerajaan mahupun pembangkang untuk berada dalam Jawatankuasa Khas bagi membantu menangani isu berkaitan pandemik Covid-19 dan dampak negatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Keempat, adakan rundingan bi-partisan (kerajaan dan pembangkang) secara berkala untuk memfokuskan segala agenda untuk membantu rakyat yang dalam keresahan akibat kesan kegawatan ekonomi yang makin meruncing.

“Serta cadangan kelima, hentikan segala percaturan politik berebut kuasa dan jawatan Perdana Menteri buat sementara waktu sehingga selesai pertarungan rakyat menghadapi pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Semalam, Yang di-Pertua Agong selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Raja-Raja Melayu menitahkan, tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mengingatkan ahli politik supaya berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hang pi bisik kt telinga zahid n geng tu.. Dulu kini slmanya menyushkn rkyt… Bgi betis nk paha

Comments are closed.