Hanafi Zulkapli

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong mengakui dan mengiktiraf kemampuan serta keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negara dan menangani pandemik Covid-19.

Pengiktirafan itu, secara tidak langsung menjawab naratif jahat Pakatan Harapan (PH) Plus yang dimainkan pemimpinnya konon, kerajaan PN gagal mengekang wabak penyakit itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, sayap parti itu menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong hasil dari sidang Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam.

Kata beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira isu semasa negara melibatkan kestabilan politik dan tumpuan kepada usaha keras kerajaan menangani gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Selain itu, jelasnya, titah baginda juga secara jelas dan tegas mendesak pimpinan parti politik dan semua Ahli Parlimen agar memberikan fokus serta kerjasama sepenuhnya dalam menyelesaikan isu berkaitan kesihatan, keselamatan, ekonomi dan kebajikan.

“Jika masih ada lagi kalangan ahli politik terus menerus bermain sentimen politik melampau sehingga mengabaikan fokus ini, jelas mereka tidak peka dan tidak patuh pada titah Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi memastikan dan merealisasikan “tiada keperluan isytihar darurat” sebagaimana dititahkan baginda, Dewan Pemuda Pas Selangor menggesa semua ahli politik dan pimpinan parti yang terlibat untuk diadakan gencatan senjata serta merta.

“Mereka juga harus menghentikan perseteruan politik demi memberikan lebih perhatian kepada kebajikan rakyat dan tidak menambahkan lagi beban kerja petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban dan berjasa sepanjang negara menghadapi Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanafi berkata, darurat politik yang menjadi polemik di media sosial sehari dua ini adalah disebabkan sikap tidak matang sebahagian ahli politik dan Ahli Parlimen yang hanya memikirkan kepentingan kuasa.

“Tindakan mereka itu akhirnya mewujudkan ketidakstabilan politik negara yang boleh membantutkan kerja untuk menyelesaikan isu Covid-19 ini.

“Justeru, tanpa gencatan senjata di kalangan ahli politik dan Ahli Parlimen, hanya akan terus mengheret negara ke kancah haru biru yang akhirnya rakyat menjadi mangsa kerakusan cita-cita peribadi seorang dua mereka yang tidak peka dan peduli rintihan rakyat,” katanya.

Beliau menyeru rakyat berperanan dalam menegur dan menasihati pimpinan politik dan Ahli Parlimen untuk memberikan fokus kepada kestabilan negara, kebajikan rakyat dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

Hanafi juga berharap, semua pihak sama ada pimpinan kerajaan, pembangkang dan juga rakyat akur serta patuh pada titah Yang di-Pertuan Agong dengan serius. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kahkahkah hng ni buta mata buta hati ka.. Smpi x nmpak msalh yg berlku… Tu lh pabila dpt jwtn dn pngkt yg salah jd betul… Cuba cermin diri tu sikit… Jhnm lgu ni

Comments are closed.